6 June 2020, Saturday | 08:45am

CUEPACS bimbang peratus tinggi kehadiran penjawat awam di Putrajaya

2020-05-04

KUALA LUMPUR: CUEPACS menganggarkan kehadiran penjawat awam ke pejabat kerajaan sekitar Putrajaya pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini melebihi 60 peratus yang disifatkannya sebagai 'membimbangkan'.

Presidennya, Adnan Mat berkata, anggaran berkenaan diperoleh hasil tinjauan dilakukan kesatuan berkenaan sekitar jam 10 pagi tadi.

"Ini menunjukkan ketua perkhidmatan dan ketua jabatan gagal mengawal pergerakan minimum penjawat awam. Pada ketika COVID-19 belum pulih sepenuhnya, langkah terbaik adalah duduk di rumah dan bekerja dari rumah.

"Hal ini amat membimbangkan CUEPACS. Sepatutnya ketua jabatan hendaklah mengambil langkah awal dengan membuat pengiraan keperluan minimum keberadaan penjawat awam di pejabat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, CUEPACS difahamkan kehadiran penjawat awam yang ramai pada hari ini adalah untuk menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"CUEPACS berharap ketua jabatan membuat penyusunan semula supaya penjawat awam yang boleh bekerja dari rumah. Mereka yang perlu sahaja, yang berkait rapat dengan pengumuman Perdana Menteri bagi memulihkan sektor ekonomi dan membantu rakyat, perlu bekerja.

"CUEPACS juga menyarankan penjawat awam yang ditugaskan di pejabat hendaklah terdiri daripada yang benar-benar sihat. Penjawat awam kumpulan pelaksana yang didapati ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan mereka yang berusia 50 tahun ke atas seharusnya bekerja dari rumah," katanya.

Ketua jabatan juga, katanya, harus menyenaraikan nama kakitangan yang perlu hadir ke pejabat dan bukannya meletakkan kehadiran secara pukal mengikut sesuatu bahagian atau unit supaya kehadiran hanya membabitkan mereka yang telah dikenalpasti dan disenaraikan.

Beliau turut memohon Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) selaku agensi penggerak dan peneraju pemodenan pentadbiran serta pengurusan perkhidmatan awam, merangka garis panduan minimum untuk penjawat awam yang bekerja dari rumah.

"Apa kaedah kawalan dan kerahsiaan, apa yang dibenarkan dan apa tidak dibenarkan serta apa keperluan yang berasaskan keputusan sahaja. CUEPACS kesal kerana sehingga kini tiada garis panduan dikeluarkan MAMPU untuk penjawat awam bekerja dari rumah setelah 49 hari PKP dilaksanakan.

"Ia tidak sepatutnya berlaku kepada MAMPU sebagai sebuah agensi pemodenan sektor perkhidmatan awam. Mereka perlulah menyahut seruan kerajaan apabila kaedah bekerja dari rumah dilaksanakan," katanya.

Adnan juga meminta rakyat kekal patuh dan terus berdisiplin bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

"Tanggungjawab menjaga diri dan keluarga adalah daripada disiplin kita. Kita mesti melakukan kawalan kendiri demi keselamatan sendiri. Peluang diberi kerajaan adalah untuk rakyat kembali pulih dari segi ekonomi, jadi rakyat hendaklah membalas keyakinan kerajaan dengan kekal berdisiplin," katanya.

Sumber: Berita Harian

 

No votes yet