20 October 2019, Sunday | 02:22am

Chantha Bin tak sabar kecewakan JDT

2019-09-25

 

KUALA TERENGGANU: Pemain import Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin mengakui tidak sabar untuk membantu pasukannya mengecewakan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu ini.

Pemain kebangsaan Kemboja itu baru pulih daripada kecederaan panjang yang dialami sejak 9 Julai lalu ketika menentang Kedah dalam aksi Liga Super.

"Jika diikutkan saya masih belum cukup cergas sepenuhnya dan ketika latihan semalam, saya hanya bermain selama 30 minit. Namun itu pun sudah dianggap lama selepas mengalami kecederaan lutut pada Julai lalu.

"Bagaimanapun menjelang aksi penting menentang JDT Sabtu ini, saya mahu melupakan kecederaan yang dialami seterusnya mahu memberi aksi terbaik bagi membantu pasukan layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Kami tahu ia perlawanan yang sukar berbanding musim lalu kerana kami tidak mempunyai sebarang bekalan selepas tewas 0-1 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu,” kata pemain kelahiran Perancis itu mengulas peluang TFC ke atas JDT pada Sabtu ini.

"Selain itu, pemain JDT musim ini sedikit berbeza. Tetapi apa sahaja boleh berlalu di dalam bola sepak dan tidak mustahil kami boleh menang kerana kami berjaya membuktikan pada musim lalu walaupun ramai penggiat sukan meramalkan kami tidak mempunyai kelebihan ketika itu.

"Kami berjaya mara ke final dengan agregat 3-2. Lebih menggembirakan apabila kejayaan itu dilakar di stadium lawan yang menjadi igauan ngeri kepada mana-mana pasukan bermain di Larkin,".

Bagaimanapun bekas pemain kelab Electricite Du Cambodge dalam saingan Liga Kemboja itu, menyerahkan kedudukannya kepada barisan jurulatih sama ada disenaraikan dalam pasukan atau terus membarisi bangku pemain simpanan.

"Demi Terengganu, saya akan memberi sepenuh tenaga dan mahu bekerja keras sekiranya diturunkan, lebih-lebih lagi kami pernah mencipta sejarah di stadium itu.

“Namun, terpulang kepada jurulatih sama ada menyenaraikan saya atau sebaliknya tetapi jika ditanya, saya mahu bermain," kata pemain berusia 28 tahun itu yang memulakan kariernya bersama kelab RC Strasbourg di Perancis.

 

Sumber: Berita Harian

No votes yet