20 October 2019, Sunday | 02:24am

Butterfingers yakin pertaruhkan Transcendence di Shah Alam

2019-09-25

 

Yakin masih mempunyai 'taji', kumpulan Butterfingers tidak menolak kemungkinan konsert sempena 20 tahun album Transcendence pada 2 Nov ini di Stadium Malawati, Shah Alam bakal meraih sokongan peminat baru daripada kalangan generasi yang terkemudian dari era kegemilangan mereka.

Pemain gitarnya, Loque, berkata meskipun album berkenaan dilancarkan pada 1999, ia masih mendapat sambutan dalam kalangan peminat sehingga kini.

"Peminat muda pun masih bertanyakan mengenai album berkenaan. Malah dengan ada pertanyaan daripada peminat buatkan kami rasa album tu macam baru je dilancarkan semalam.

"Ini membuktikan Transcendence menampilkan lagu-lagu malar segar," katanya.

Transcendence merupakan album ketiga Butterfingers dan terjual lebih 60,000 unit, sekali gus menaikkan nama kumpulan berkenaan dalam dunia seni tempatan suatu masa dulu.

Loque ditemui pada majlis pengumuman konsert Transcendence 20 Tahun Butterfingers di Menara Telekom Berhad, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, pemain bass, Kadax, dan pemain dram, Loko.

Hidang 30 lagu

Vokalis mereka, Emmet, tidak dapat bersama buat masa ini kerana menetap di Kanada, namun mereka tetap berhubung dari semasa ke semasa.

Dia juga sempat menghiburkan media dengan persembahan secara langsung melalui melalui aplikasi video Skype.

Mengulas persediaan untuk merealisasikan rancangan berkenaan - memandangkan Emmet dijangka pulang ke tanah air kira-kira dua minggu sebelum konsert - pemilik nama sebenar Khairil Ridzwan Anuar itu berkata, hal tersebut sedikit pun memberi kekangan kepada mereka.

 

"Tak ada masalah kerana kita ada teknologi dan kami akan memanfaatkan apa yang ada.

"Pada kebiasaannya kami akan berlatih maksimum tiga jam sehari bagi memantapkan stamina dan persembahan," katanya.

Kata Loque, dengan kapasiti stadium yang boleh memuatkan 13,000 orang itu mereka akan mempersembahkan lagu dari album Transcendence dan sebelumnya.

"Selain Transcendence, konsert berdurasi 120 minit itu akan turut mengegarkan peminat dengan 30 lagu antaranya dari album 1.2 Miligram dan Butter Worth Pushful.

"Jika ada peminat nak lagu dari album seterusnya, minta maaf tu tak dapat kami berikan pada konsert kali ni," katanya.

 

 

Sumber: Malaysiakini

No votes yet