24 September 2020, Thursday | 04:11pm

Bukan jaminan rayuan diterima

2020-02-13

 

MEMILIH membayar penuh RM22,900 bagi kos menunaikan haji bukan jaminan permohonan rayuan bakal jemaah pada musim 1441H/2020M diterima Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengulas isu Borang Rayuan Haji yang antara lain meminta individu membuat perakuan persetujuan sama ada secara sukarela bersetuju atau tidak untuk membayar penuh kos tanpa Bantuan Haji TH.

Bagaimanapun, Dr Mujahid berkata, perkara itu dipolitikkan pembangkang.

“Merit rayuan tertakluk kepada beberapa kriteria yang menjadi keutamaan pertimbangan Tabung Haji. Sama ada seseorang itu memutuskan membayar secara penuh atau tidak, bukan menjadi kriteria.

“Mereka yang diberi keutamaan adalah yang merayu sebagai ‘mahram’, atau warga tua berumur 70 tahun ke atas dan pembantu mereka serta mereka yang sudah dipilih untuk menunaikan haji pada tahun sebelumnya, tetapi terpaksa menangguhkannya,” katanya semalam.

Dr Mujahid berkata, orang kurang upaya dan mualaf turut menjadi keutamaan untuk dipilih.

Jemaah haji muassasah TH kekal membayar RM9,980 bagi musim haji tahun ini.

Beliau berkata, kebanyakan orang tidak tahu kos sebenar menunaikan haji ialah RM22,900, baki RM12,920 ditanggung TH dan ada yang mampu membayar kos penuh itu tanpa sebarang masalah.

“Kita hanya memberi pilihan kepada orang ramai sama ada ingin membayar penuh atau hanya RM9,980 (dengan bantuan haji). Itu pilihan mereka kerana ada yang mampu membayar RM22,900, tetapi memilih untuk membayar RM9,980 yang pada saya tidak wajar,” katanya.

Mengakui pembangkang mengambil kesempatan mengelirukan orang ramai, Dr Mujahid berkata, bakal jemaah seharusnya menyedari kos menunaikan haji semakin meningkat dan tidak akan turun.

“Ini adalah pilihan yang diberikan kepada bakal jemaah terutama mereka yang mampu untuk membayar penuh,” tegas beliau.

Baru-baru ini, ada pihak yang mempersoalkan rasional perakuan ditandakan persetujuan sama ada secara sukarela bersetuju atau tidak untuk membayar penuh kos RM22,900 tanpa Bantuan Haji TH, hingga mewujudkan persepsi TH hanya akan mempertimbangkan mereka yang membayar penuh mengakibatkan orang ramai keliru.

Terdahulu, Dr Mujahid melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji hasil kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan TH dan Visa yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan ganjaran eksklusif kepada pemegang kad.

Kad debit-i itu adalah kad eksklusif yang menawarkan pelbagai ganjaran tambahan termasuk pengecualian caj pengeluaran tunai di Arab Saudi ketika musim haji, tambang khas bagi perkhidmatan KLIA Ekspres serta diskaun eksklusif pakej TH Travel & Services.

 

 

 

 

 

Sumber: Harian Metro

Foto:

 

Average: 5 (1 vote)