6 October 2024, Sunday | 08:34pm

Bubblebee tutup sementara empat cawangan

2020-10-13

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluaran air minuman, Bubblebee Sdn. Bhd. (Bubblebee) menutup sementara operasi empat cawangannya iaitu Ampang, Senawang, Sentul dan Sungai Buloh berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee, Datuk Ismail Abdul Rahman berkata, langkah itu dibuat bagi menamatkan kerjasama dengan semua rakan usahasama yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penggubalan wang haram.

Selain itu katanya, penutupan sementara itu juga bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi semua cawangan berkenaan oleh pihak ibu pejabat Bubblebee.

Tambahnya, apa yang berlaku terhadap rakan usahasama mereka telah mendatangkan kesan negatif yang secara tidak langsung menjejaskan reputasi perniagaan tersebut.

“Baru-baru ini tular berita mengenai rakan usahasama kami yang disiasat pihak berkuasa. Perkara itu turut menyebabkan salah seorang ahli lembaga pengarah kami dipanggil bagi membantu siasatan.

“Walaupun tidak pasti kedudukan sebenar rakan usahasama ini bersalah atau tidak kerana kes ini masih dalam siasatan, ia tetap memberi kesan kepada jenama Bubblebee,”katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ismail berkata siasatan ke atas rakan usahasama ini mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan itu dengan teruk sekali.

“Sehubungan itu, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama dengan semua rakan yang menguruskan empat cawangan Bubblebee itu,” katanya.

Ismail menambah, Bubblebee mempunyai 17 cawangan di seluruh negara dan dari jumlah itu, 11 cawangan adalah milik penuh Bubblebee manakala enam lagi dibuka secara usahasama.

“Syarikat yang mengeluarkan dan memasarkan produk air boba berasaskan madu lebah yang ditubuhkan sejak 2019 ini menghimpunkan beberapa usahawan yang pakar dalam bidang masing-masing terutamanya dalam industri minuman, penghasilan madu lebah dan pemasaran,”ujarnya.

Sumber: K! ONLINE

 

No votes yet