28 March 2024, Thursday | 05:54pm

BPN: Lebih 3.26 juta permohonan baharu, rayuan diterima - Tengku Zafrul

2020-04-28

KUALA LUMPUR: Lebih 3.26 juta permohonan baharu dan juga rayuan diterima untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 26 April 2020, demikian kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2.96 juta adalah permohonan baharu dan 305,000 adalah rayuan, sementara proses itu, akan tutup pada Khamis, 30 April ini.

"Pengumuman pembayaran pula akan dibuat pada minggu depan selepas proses semakan selesai," katanya menerusi perkongsian laporan ketiga pencapaian pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bagi pembayaran fasa pertama BPN, sebanyak 7.74 juta penerima telah menerima bayaran BPN berjumlah RM5.47 bilion.

Beliau berkata, proses bayaran tunai bagi mereka yang tiada akaun bank telah bermula sejak 17 April 2020 dan berjalan lancar dengan lebih 157,000 menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara.

"Dengan sukacitanya, saya ingin berkongsi bahawa pembayaran fasa kedua untuk kesemua penerima BPN golongan B40 dan M40, sama ada isi rumah atau individu bujang, akan dibuat mulai 4 Mei 2020," katanya.

Tengul Zafrul juga maklumkan bahawa Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 untuk 2.5 juta penjawat awam dan pesara, termasuk veteran angkatan tentera tidak berpencen telah dibuat pada 23 April 2020.

Beliau berkata, bagi golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) pula, mulai 27 April 2020, bantuan RM200 secara sekali saja sudah dihulurkan, yang mana bantuan itu akan memanfaatkan seramai 1.5 juta pelajar IPT di seluruh negara.

"Untuk kategori perniagaan pula, mulai Jumaat 1 Mei ini, permohonan untuk jaminan pinjaman Danajamin akan mula dibuka," katanya.

Source: Berita Harian

 

No votes yet