Justeru itu, tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan bidang itu melalui agihan dana lebih banyak dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, kerajaan wajar menyediakan peruntukan dengan sesuai untuk menggalakkan pembangunan sektor yang lebih menyeluruh merangkumi aspek teknologi pelindungan, tadbir urus sistem dan kapasiti pembangunan insan.

Jelasnya, tahap kemajuan sesuatu teknologi dan keupayaan sistem perlindungannya haruslah bergerak seiring demi menangkis serangan serta ancaman kepada teknologi itu.

"Risiko amat tinggi jika kita hanya tertumpu pada pembangunan teknologi digital tanpa meningkatkan perlindungan terhadap teknologi itu sendiri. Dalam konteks dunia digital, kita perlu sentiasa bersedia dengan ancaman serangan siber yang semakin kompleks, diharapkan belanjawan ini industri keselamatan siber dapat diberi fokus," katanya kepada Bernama.

Tambah Amiruddin, banyak inisiatif dan dasar yang diperkenal kerajaan ketika ini berpaksikan bidang pendigitalan termasuk sistem pengurusan secara dalam talian yang memerlukan ciri pelindungan secara multi-layers.

Katanya, menerusi dana yang diberikan pelbagai usaha memajukan sektor itu dapat dilaksanakan termasuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penyediaan sistem perlindungan siber yang lebih canggih.

Untuk rekod, dalam Belanjawan 2019 lepas, bidang digital menyaksikan antara sektor yang mendapat agihan dana terbesar menerusi pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM1 bilion bagi menggalakkan perkembangan ekonomi digital.

Menerusi belanjawan itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM10 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membangunkan dan menggalakkan industri E-Sports.

Sementara itu, dalam usaha melengkapkan keperluan negara berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0, Belanjawan 2020 juga perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran teknologi digital. - Bernama