20 November 2019, Wednesday | 01:35pm

Belanjawan 2020: Penggiat seni harap tidak dipinggirkan

2019-10-11

 

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) berharap, Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan, petang ini tidak melupakan penggiat seni, terutama karyawan warga emas dan penghidap penyakit kronik.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, golongan memerlukan itu juga pernah menyumbang bakti, malah turut membantu pembangunan ekonomi negara, namun kebajikan mereka masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

 

DJ Dave (dua dari kanan) berharap Belanjawan 2020 tidak mengabaikan penggiat seni yang memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Foto Khairul Azhar Ahmad

 

“Sebagai pertubuhan yang melaksanakan misi tanggungjawab sosial sejak tujuh tahun lalu, kami melihat nasib karyawan warga emas atau yang tidak lagi sihat masih pada tahap sukar.

“Selaku pertubuhan yang direalisasikan untuk kesejahteraan golongan ini, kami sedaya upaya menjalankan pelbagai aktiviti bagi membantu mereka.

“Namun, keprihatinan kerajaan juga perlu supaya lebih ramai penggiat seni mendapat manfaat sekiranya dana kebajikan artis turut menjadi satu daripada inti pati Belanjawan 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan khas Deepavali kepada 15 penerima yang terdiri daripada penyanyi dan pelakon veteran tanah air.

Selain wang tunai RM900, YKAT dengan kerjasama Bumijaz turut menyenaraikan semua penerima dalam Skim Khairat Kematian YKAT yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu.

Katanya, menerusi skim itu, pencarum sama ada Islam mahupun bukan Islam bakal menikmati pelbagai manfaat, sekali gus melindungi kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan.

 

ZED berharap kerajaan memperkenalkan semula Dana Industri Kreatif bagi menggalakkan pertumbuhan industri seni. Foto Aziah Azmee

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi pula berharap, kerajaan memperkenalkan semula Dana Industri Kreatif bagi menggalakkan pertumbuhan aktiviti seni.

“Industri kreatif sebelum ini, pernah menerima peruntukan RM200 juta, sekali gus membuka pelbagai peluang pekerjaan kepada penggiat seni.

“Ia secara tidak langsung menggalakkan pemain industri untuk terus berkarya, pada masa sama, membuka ruang kepada anak muda, terutama graduan menceburi bidang seni.

“Menerusi dana itu juga, ia membantu mengangkat industri ke tahap lebih baik, sekali gus membuktikan kepada masyarakat medium seni turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bangsa,” katanya.

Zed juga percaya, menerusi dana yang diperuntukkan, ia dapat merangsang perkembangan industri seni tempatan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

 

 

Sumber: Berita Harian

Foto: https://www.asiaone.com

 

No votes yet