29 March 2024, Friday | 04:19am

Bekas CEO Tune Talk didakwa ceroboh rumah, masukkan dadah dalam badan

2019-11-18

Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi tempatan dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh sebuah rumah dan memasukkan dadah jenis ‘methamphetamine’ dalam badannya.

Jason Jonathan Lo, 44, yang juga seorang penyanyi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sai .

Dia didakwa telah melakukan pencerobohan dengan memasuki sebuah rumah kediaman di Bangsar Park, Brickfields di sini pada 10 malam, 30 Okt lepas mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Mardhiyah Siraj yang mewakili Jason Lo memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Dis untuk sebutan semula kes.

Di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin, Jason Lo mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah memasukkan dadah jenis ‘methamphetamine’ ke dalam badannya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers , Brickfields pada 5.15 petang, 15 Nov lepas.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan tidak kurang dua tahun dan maksimum tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohd Farid menawarkan jaminan RM5,000 manakala Mardhiyah yang mewakili Jason Lo memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung ibunya yang mengidap tekanan darah tinggi.

“Anak guam saya merupakan bapa kepada tiga anak. Dia menjaga dua anak sementara seorang lagi anaknya dijaga oleh bekas isterinya dan nafkah ditanggung olehnya,”katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Dis untuk sebutan kes.

Tertuduh membayar wang jaminan itu.

Sumber: BERNAMA

 

Average: 5 (2 votes)