20 November 2019, Wednesday | 01:34pm

Bangkitkan isu kesihatan mental di Parlimen

2019-10-21

 

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye meminta ahli Parlimen untuk memberi perhatian serius terhadap isu-isu kesihatan mental di negara ini dan menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang yang menganggap perbuatan cuba membunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

Lam Thye berkata, laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Pencegahan Bunuh Diri pada 2014 menyatakan bahawa di negara-negara yang cubaan membunuh diri dianggap sebagai kesalahan jenayah, percubaan bunuh diri sering disembunyikan dan kematian disebabkan bunuh diri tidak dilaporkan sehingga memberi gambaran palsu bahawa percubaan membunuh diri kurang tersebar.

Beliau berkata, Peguam Negara juga perlu mengkaji semula peruntukan undang-undang berhubung percubaan membunuh diri untuk memastikan ia tidak menghalang orang ramai daripada memohon bantuan dan tidak menganggap percubaan membunuh diri sebagai kesalahan jenayah.

"Saya menyeru supaya seksyen 309 Kanun Keseksaan dimansuhkan kerana menganggap percubaan bunuh diri atau individu yang mempunyai niat untuk membunuh diri sebagai kesalahan jenayah akan menyebabkan ketidakadilan kepada mereka yang mengalami kemurungan, kegelisahan, dan masalah mental yang lain.

"Saya bimbang jika undang-undang ini tidak dimansuhkan, maka mereka yang mempunyai niat untuk bunuh diri akan bersembunyi kerana mereka mungkin berfikir bahawa mereka akan ditangkap oleh polis dan didakwa sebagai penjenayah jika mencetuskan cadangan untuk bunuh diri," katanya.

Lam Thye berkata, tidak ada bukti mencadangkan bahawa jika undang-undang ini dimansuhkan, jumlah kes bunuh diri akan lebih tinggi kerana mereka ini adalah individu yang memerlukan rawatan dan pemulihan, tidak dianggap sebagai penjenayah.

"Saya harap Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak akan membangkitkan isu ini di Parlimen dan meminta kementerian-kementerian berkaitan untuk memperjuangkan isu ini untuk membantu mereka yang mengalami penyakit mental," katanya.

Lee yang juga penaung Befrienders Kuala Lumpur, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri, melalui bantuan 24 jam (03-79568145), e-mel ([email protected]) dan sesi bersemuka.

Sementara itu, WHO baru-baru ini melaporkan bahawa kematian bunuh diri adalah antara 10 punca utama kematian di dunia hari ini dan punca kematian kedua tertinggi bagi mereka yang berusia 15 hingga 29 tahun.

Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) mendapati bahawa kadar bunuh diri di kalangan remaja di Malaysia berusia 13 hingga 17 menunjukkan trend peningkatan berhubung niat untuk membunuh diri, daripada 7.9 hingga 10 peratus dari 2012 hingga 2017.

Kajian terkini oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa kebiasaan berlau kemurungan adalah 18.3 peratus apabila seorang daripada lima remaja mengalami kemurungan dan dua daripada lima remaja mengalami kegelisahan. - Bernama

 

 

Sumber: Sinar Harian

Foto: The Star

 

No votes yet