20 October 2019, Sunday | 02:34am

Awas, taktik baharu scammer beri notis 'polis

2019-10-10

 

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menafikan pihaknya telah mengeluarkan notis terhadap seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram seperti yang tular di media sosial sejak Selasa lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, surat tersebut dipercayai dikeluarkan oleh sindiket penipuan bertujuan memperdayakan mangsa bagi mengaut keuntungan.

“Surat yang dihantar ke rumah individu terbabit di ibu negara itu juga tidak wujud dalam sistem fail polis serta mempunyai nombor siri palsu.

“Isi kandungan surat tersebut menggunakan bahasa pasar dan kepala surat yang digunakan berbeza dengan surat rasmi yang dikeluarkan polis,” katanya.

Menurutnya, polis memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan taktik-taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan dan segera merujuk kepada pihak polis sekiranya menerima surat seumpama itu.

Surat yang dimuat naik di laman sosial oleh seorang individu itu mendakwa bahawa pihak polis 'memerintahkan' mangsa memberi kerjasama kepada polis Terengganu kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram berjumlah RM228,000. - Bernama

 

 

 

Sumber: Sinar Harian

Foto: Berita Harian

 

Average: 5 (1 vote)