6 June 2020, Saturday | 09:03am

AS dakwa ada bukti kukuh COVID-19 berpunca dari makmal China

2020-05-04

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mengulangi kenyataan menyalahkan China sebagai punca penularan pandemik COVID-19 dengan mendakwa ia berasal dari sebuah makmal keselamatan bio di pinggir bandar Wuhan.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam wawancara bersama agensi berita ABC pada Ahad berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh bagi menyokong kenyataan itu.

“Terdapat bukti signifikan bahawa ia berpunca dari sebuah makmal di Wuhan.

“Pakar-pakar yang handal setakat ini juga berpendapat ia adalah buatan manusia. Saya tiada alasan untuk menolaknya,” kata Pompeo.

Kenyataan itu sekali gus menafikan keputusan komuniti perisikan negara itu yang mengesahkan koronavirus tersebut bukan berasal dari makmal.

"Saya faham kenyataan dikeluarkan komuniti perisikan. Tapi saya rasa mereka salah," katanya lagi.

Pompeo dalam pada itu turut mendakwa kerajaan China mencatut bekalan perubatan dan menyembunyikan situasi ‘dahsyat’ dihadapi negara itu akibat wabak COVID-19.

Ia susulan satu laporan dikeluarkan Jabatan Keselamatan AS menerusi data dikumpul awal tahun ini berhubung barangan eksport dan import China.

“China seperti mengadakan sekatan terhadap eksport bekalan perubatan sejak WHO mengumumkan status virus itu sebagai pandemik berjangkit,” tulis laporan itu seperti dipetik dari berita CNN.

Dakwaan Pompeo itu senada dengan kenyataan Trump yang percaya koronavirus berkenaan berpunca dari makmal dan bukannya pasar makanan laut di Wuhan.

Trump dalam satu kenyataan dibuat pada Ahad menyifatkan ia merupakan "satu kesilapan yang dahsyat."

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) April lalu menolak sepenuhnya dakwaan bahawa virus itu kononnya hasil buatan makmal.

WHO berkata sekalipun virus itu merupakan buatan makmal, hasil struktur genomik itu sudah tentu akan menunjukkan sejenis campuran oleh pelbagai elemen.

Sumber: astro AWANI

 

No votes yet