20 October 2019, Sunday | 02:26am

Amy Search zahirkan ucapan takziah, mohon maaf tidak dapat hadir ke pengebumian Yazit

2019-09-26

 

KUALA LUMPUR: Vokalis utama kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search menyampaikan salam takziah di atas pemergian pemain dram kumpulan tersebut, Yazit Ahmad pada pukul 11.53 pagi tadi.

“Saya dengan rendah hati menyampaikan salam takziah di atas kepulangan Yazit ke Rahmatullah hari ini.

“Semoga segala amalannya sepanjang di dunia diperhitungkan dan roh beliau dicucuri rahmat,” ucap Amy Search dalam kenyataan rasmi yang diberikan kepada pihak media sebentar tadi.

Amy juga memohon maaf kerana tidak dapat menziarah dan menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Yazit kerana kini berada di Jakarta, Indonesia.

Vokalis tersebut terikat dengan tanggungjawabnya sebagai komentator di program Golden Memories Asia untuk siaran Indosiar di Jakarta, Indonesia.

“Saya meminta maaf kerana masih perlu melunaskan tanggungjawab sebagai komentator bagi  Golden Memories Asia yang masih akan bersiaran langsung pada malam ini.

“Sekali lagi salam takziah buat seluruh keluarga Yazit. Semoga tabah menghadapi pemergiannya,” kata Amy lagi.

Allahyarham Yazit dimasukkan ke HKL kira-kira jam 3.45 pagi kelmarin selepas mengadu sesak nafas di rumahnya di Taman Melati Kuala Lumpur.

Sebelum ini Allahyarham pernah dimasukkan ke hospital sama pada awal bulan lalu akibat masalah pernafasan.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah Taman Selasih untuk dikebumikan selepas solat Asar nanti.

Allahyarham Yazit, 57, meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29.
 

 

Sumber: Astro Awani

Average: 5 (1 vote)