29 March 2024, Friday | 05:11pm

Ahmad Fuaad sah Presiden, CEO UMW

2020-10-09

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corp. Bhd., Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali sah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd. berkuat kuasa 1 November depan.

Ahmad Fuaad, 50, akan mengambil alih tugas dan peranan daripada Allahyarham Badrul Feisal Abdul Rahim yang me­ninggal dunia pada 31 Mei lalu.

Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dalam kenyataan memberitahu, syarikat itu berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Ahmad Fuaad ke UMW, sebuah konglomerat terkemuka dengan sejarah merangkumi lebih daripada satu abad.

Beliau berkata, pengalaman profesional dan korporat yang dimiliki Ahmad Fuaad diyakini dapat memberi sumbangan besar kepada UMW.

“Kami yakin beliau akan dapat memacu UMW ke tahap le­bih tinggi dan dalam masa yang sama terus memberikan nilai lebih baik kepada pemegang saham kami,” katanya dalam ke­nyataan semalam.

UMW turut memberitahu, dengan pelantikan Ahmad Fu­aad, Azmin Che Yusoff yang memangku jawatan itu kembali memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (Korporat).

Utusan Malaysia melaporkan, UMW telah pun mempunyai calon Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dengan nama Ahmad Fuaad yang telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Jumaat lalu disebut-sebut mengisi jawatan itu.

Ahmad Fuaad telah memulakan kerjayanya bersama Arthur Andersen & Co. pada tahun 1994 sebelum menggalas tugas sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan di Petaling Garden Bhd. pada tahun 2001.

Beliau kemudiannya meme­gang jawatan sebagai rakan niaga dan Pengarah Eksekutif di Ernst & Young pada tahun 2008 sehingga 2010 sebelum beralih ke Astro Malaysia Holdings Bhd. sebagai Ketua Pegawai Kewangan daripada Ogos 2010 hingga Julai 2013.

Pada bulan Ogos 2013, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan di DRB-HICOM Bhd. dan seterusnya menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Operasi (Kewangan dan Korporat) di syarikat tersebut sehingga Mac 2016.

Seterusnya, Ahmad Fuaad telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Proton Holdings Bhd. bermula 1 April 2016 hingga 30 September 2017 sebelum dilantik mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff.

 

 

 

 

 

Source: Utusan                      https://bit.ly/2I276nh

Photo: themalaysianreserve.com

Average: 5 (1 vote)