9 December 2019, Monday | 04:38am

Agong terima sambutan mesra di Hospital Putrajaya

2019-08-07

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Hospital Putrajaya di sini.

Ketibaan baginda disambut Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya serta kakitangan hospital.

Kehadiran baginda secara mengejut di lobi hospital pada 10.45 pagi itu nyata mengundang rasa teruja rakyat jelata yang tidak melepaskan peluang menghulurkan salam kepada baginda.

Setelah bersalam-salaman dan bertanya khabar, baginda kemudiannya diiringi ke tingkat lima hospital bagi menziarahi seorang kenamaan.

Usai ziarah, baginda kemudiannya turun ke lobi untuk berangkat pulang namun, kehadiran Sultan Abdullah sekali lagi ‘disekat’ rakyat jelata yang sedia menunggu untuk merakam kenangan.

Keramahan baginda terserlah apabila tidak keberatan melayan kerenah pelbagai lapisan masyarakat di situ yang meminta untuk bersalam dan mengambil gambar bersama baginda.

Yang di-Pertuan Agong juga dilihat tersenyum menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, malah turut mencium seorang bayi yang dipangku bapanya.

Baginda juga dilihat berpesan kepada seorang pesakit yang mengalami sakit sendi lutut agar tidak lupa melakukan fisioterapi dan menjaga kesihatan.

Sultan Abdullah juga tidak keberatan memegang telefon bimbit satu keluarga bagi merakam gambar bersama sambil berpesan supaya terus menjaga ibu mereka yang tidak sihat yang dilihat berkerusi roda.

Setelah bersalaman dan bergambar dengan hampir semua yang beratur di lobi, baginda kemudiannya memohon berangkat pulang, diikuti tepukan hormat mereka yang berada di situ.

 

Sumber: Berita Harian https://bit.ly/2GRxnBA

Gambar: kosmo.com.my

 

No votes yet

Tags: