Pelumba Petronas Sprinta Racing itu yang menggantikan Khairul Idham Pawi berkata, dia berminat meningkatkan pengetahuan yang dipelajarinya ketika membuat penampilan sulung pada GP San Marino baru-baru ini, sambil menambah masih menyesuaikan diri menggunakan jentera Triumph.

"Saya serasi dengan Litar Aragon. Saya yakin mampu memberi saingan yang terbaik selepas beraksi cemerlang dalam Moto3 tahun lepas dan dalam kelas Moto2 kejohanan CEV.

"Sudah pasti litar ini lebih baik untuk saya berbanding di Misano (Litar Dunia Marco Simoncelli )," kata bekas pelumba Moto3 yang dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan itu, hari ini.

Adam, 21, gagal menyerlah pada GP San Marino baru-baru ini selepas terlibat dalam kemalangan pada pusingan keenam di litar sepanjang 4.2 kilometer.

 

ADAM NORRODIN

ADAM NORRODIN

 

Sementara itu, pelumba kelas Moto3 pasukan yang sama, John McPhee dari Britain dan Ayumu Sasaki dari Jepun mempunyai misi berbeza hujung minggu ini.

McPhee menyasarkan untuk menaiki podium, sementara Sasaki berharap dapat bangkit daripada kekecewaan pada GP San Marino.

McPhee meraih podium ketiga di San Marino selepas memenangi tempat kedua, sementara Ayumu gagal menamatkan perlumbaan akibat terlibat dalam kemalangan dengan tiga pelumba pada pusingan pembukaan.

"Saya memperoleh beberapa keputusan yang baik di Aragon sebelum ini dan beberapa tahun lalu saya berusaha menaiki podium, jadi, kita lihat apa yang akan berlaku di sana," kata McPhee. - BERNAMA

 

Sumber: Utusan