23 September 2019, Monday | 09:34am

46 calon UPSR Pasir Gudang duduki peperiksaan dalam bilik khas

2019-09-05
PASIR GUDANG: Seramai 46 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada lapan sekolah ‘hot spot’ insiden pencemaran udara di sini, ditempatkan dalam bilik khas bagi menduduki peperiksaan itu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan, berkata langkah berkenaan sebagai tindakan pencegahan dan berjaga-jaga sekiranya berlaku insiden berkaitan pencemaran ketika peperiksaan sedang berjalan.
 
Katanya, semua 46 calon UPSR itu juga dikenal pasti sebagai mangsa berulang pencemaran udara di kawasan Pasir Gudang.
 
“Sebanyak 12 sekolah rendah di kawasan ‘hot spot’ insiden pencemaran udara di Pasir Gudang menyediakan bilik khas bagi calon UPSR mereka menjalani peperiksaan.
 
“Bilik khas ini tertutup sepenuhnya selain dilengkapi penghawa dingin dan dijaga seorang pengawas peperiksaan bagi memastikan calon UPSR yang sebelum ini pernah menjadi mangsa berulang pencemaran tidak terdedah kepada bahaya jika berlaku perkara tidak diingini ketika peperiksaan berlangsung.
 
“Hanya lapan sekolah dengan jumlah 46 calon UPSR di kawasan ‘hot spot’ insiden pencemaran udara di Pasir Gudang membuka bilik khas ini dengan persetujuan ibu bapa, manakala penjaga murid di baki empat sekolah ‘hot spot’ menolak anak mereka menduduki UPSR di bilik khas,” katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas meninjau bilik khas calon UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, di sini, yang menempatkan sembilan murid, hari ini.
 
Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar.
 
Rabu lalu, seramai 33 murid SK Taman Pasir Putih dihantar ke klinik berdekatan kerana mengalami gejala muntah dan pitam akibat terhidu bau busuk yang tidak dikenal pasti puncanya.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, semua pelajar yang terkesan duduk di bilik darjah tingkat tiga dan empat sekolah berkenaan.
 
Susulan itu minggu lalu, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang mengarahkan kira-kira 11,300 murid Tahun 1 hingga Tahun 5 dari 12 sekolah ‘hot spot’ insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, supaya bercuti mulai semalam sehingga 11 September ini sebagai langkah berjaga-jaga.
 
Dua belas sekolah di kawasan ‘hot spot’ terbabit ialah SK Taman Pasir Putih, SK Kopok, SK Tanjung Puteri Resort, SK Taman Scientex, SK Kota Masai, SK Pasir Gudang 4, SK Taman Bukit Dahlia, SK Taman Megah Ria, SK Taman Rinting 3, SK Pasir Gudang 1, SK Pasir Gudang 3 dan SK Kota Masai 3.
 
Semua sekolah berkenaan terletak dalam radius lima kilometer dari kawasan perindustrian di Pasir Gudang.
 
Seramai 2,175 calon UPSR menduduki peperiksaan itu di 12 sekolah ‘hot spot’ di Pasir Gudang.
 
Sumber - Berita Harian https://bit.ly/2ktv7s4
 
Kredit gambar - Malay Mail 

No votes yet