29 March 2024, Friday | 07:41pm

20,000 Proton X50 sudah ditempah

2020-10-28

PROTON Holdings Bhd (Proton) secara rasminya melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) keduanya, Proton X50 dan ditawarkan pada harga bermula RM79,200 hingga RM103,300 seunit.

SUV dalam empat varian itu berharga RM79,200 bagi 1.5T Standard, RM84,800 (1.5T Executive), RM93,200 (1.5T Premium) manakala RM103,300 (1.5TGDi Flagship).

Proton X50 adalah kenderaan kedua yang diusahakan bersama Proton dan rakannya, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, tempahan bagi Proton X50 dibuka secara rasmi pada 16 September lalu.

"Setakat ini lebih 20,000 tempahan diterima daripada rakyat yang teruja menjadi antara pembeli pertama kenderaan itu.

"Tahap minat orang ramai terhadap Proton X50 ini juga menakjubkan dan sesuatu yang belum pernah berlaku, terutama dalam tahun yang banyak dipengaruhi faktor luaran.

"Kami menerima pertanyaan sejak tahun lalu dan sokongan dalam bentuk liputan pelbagai saluran media menyaksikan jangkaan tinggi dalam kalangan pembeli kereta Malaysia," katanya dalam kenyataan selepas pelancaran Proton X50 secara maya menerusi Facebook Proton di sini, semalam.

Sama seperti SUV sebelumnya, usaha sama bagi Proton X50 ini memerlukan Proton dan Geely bekerjasama di pelbagai peringkat termasuk kakitangan dari China dan Malaysia yang bekerja dalam rangkaian pasukan pelbagai fungsi (CFT).

Selain itu, ia turut membabitkan ujian atas jalan sejauh 1.9 juta kilometer di jalan raya negara ini untuk memastikan kesesuaian dengan iklim panas dan lembap serta keadaan jalan raya yang unik di sini.

Menurutnya, pada masa sama, jurutera pengeluaran syarikat memulakan usaha membina unit percubaan, praproduksi dan akhirnya pengeluaran penuh Proton X50 di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim yang siap dibina pada tahun lalu dengan kos RM1.2 bilion.

"Proton X50 ini ditawarkan lengkap dengan pakej komprehensif bagi meningkatkan pengalaman pemilikannya termasuk jaminan jarak tempoh tanpa had selama lima tahun selain pakej data lima tahun yang menyediakan 1GB data percuma bagi setiap bulan," katanya.

Selain itu, 30,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan sebelum atau pada 31 Disember ini akan menerima caj khidmat buruh percuma untuk lima kali servis.

Malah, semua pelanggan ditawarkan pelbagai faedah sekiranya insurans Proton X50 mereka diperoleh menerusi Pakej Perlindungan Insurans Premium Proton.

Katanya, kadar pembiayaan pinjaman rendah bermula daripada 2.22 peratus turut ditawarkan kepada semua pembeli melalui syarikat kewangan dalaman Proton iaitu Proton Commerce Sdn Bhd.

"Kami yakin pelanggan akan gembira dengan spesifikasi, harga dan pakej faedah yang ditawarkan menerusi pembelian Proton X50.

"Terdapat varian yang bersesuaian dengan setiap keperluan dan perbelanjaan. Kami juga berharap sepertimana Proton X70, SUV terbaharu kami akan menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Sumber: myMetro

 

No votes yet