23 January 2020, Thursday | 04:29pm

103 pelajar dijangkiti Influenza di Pulau Pinang

2020-01-13

 

GEORGETOWN: Seramai 103 pelajar daripada 52 sekolah di Pulau Pinang dijangkiti virus Influenza, setakat jam 8 malam tadi, namun tidak membabitkan penutupan sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata daripada jumlah itu, 86 kes membabitkan pelajar pra sekolah hingga tahun enam manakala 16 lagi pelajar tingkatan satu hingga enam.

Katanya, daerah Seberang Perai Utara (SPU) mencatatkan kes paling banyak iaitu 36 membabitkan 11 sekolah; diikuti Timur Laut 24 kes membabitkan 17 sekolah.

“Sebanyak 22 kes lagi dilaporkan di tujuh sekolah dalam Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), 14 kes (11 sekolah) di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Barat Daya pula tujuh kes membabitkan enam sekolah.

“Daripada keseluruhan kes itu, lapan pelajar dimasukkan ke wad, namun setakat ini tiada sekolah ditutup. Hanya dua kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) masih ditutup sehingga 19 Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rashid berkata, selain pelajar, tiga guru wanita turut dilaporkan terkena jangkitan penyakit itu yang mana dua kes membabitkan guru dua sekolah menengah di Timur Laut dan satu lagi sekolah rendah di SPU.

Katanya, ketiga-tiga guru terbabit sudah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang memaklumkan 62 individu di negeri ini dilaporkan dijangkiti virus Influenza dalam 10 kluster Influenza Like Illness (ILI).

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib, berkata data itu diperoleh berdasarkan pengawasan yang dilakukan di klinik sentinel terpilih di negeri ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 15 pesakit atau 24.2 peratus menerima rawatan di wad dengan keadaan semua mereka dilaporkan stabil.

 

Sumber: Berita Harian

Foto: Astro Awani

No votes yet