13 December 2019, Friday | 12:52pm

‘Filem baru Mahathir tak dapat restu Seri Perdana’

2019-11-13

 

Filem biografi terbaru berkaitan Dr Mahathir Mohamad menerima 'tamparan' awal apabila anak sulung perdana menteri, Marina berkata ia tidak mendapat restu daripada keluarga Seri Perdana.

Menurut Marina, keluarganya enggan sesiapa pun menceritakan perihal kisah Dr Mahathir kerana ia dirasakan akan jadi memalukan mereka.

“Perkara di sini ialah: Keluarga saya lebih suka tiada sesiapa menghasilkan filem, filem bografi, muzikal, kartun atau apa saja mengenai kami kerana ia memalukan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Marina, jika perkara itu tetap dilakukan, “Jangan buat kami menontonnya”.

Marina merujuk pada filem Mahathir: The Journey arahan Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan yang baru dilancarkan dalam satu sidang media di Petaling Jaya baru-baru ini.

 

Marina Mahathir 

 

Filem terbitan Reliance Media Group itu merangkumi 16 tahun kisah perjuangan Dr Mahathir.

Ia bermula dari masa persaraannya selepas berkhidmat 22 tahun sebagai pemimpin nombor satu negara hingga kembali memimpin negara pada 2018.

Dalam filem itu, watak Marina dijayakan oleh pelakon dan penyanyi Ning Baizura

Ning Baizura

 

Selain Mahathir: The Journey, baru-baru ini kisah isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga diumumkan akan turut difilemkan.

Sementara itu, mengulas pertanyaan warganet sekiranya pihak terbabit ada meminta izin sebelum menghasilkan filem mengenai keluarganya, Marina menjawab: “Tidak.”

“Mereka tak (meminta kebenaran). Saya hanya kata kami tidak menyokong ini, atau pun yang lagi satu itu (filem berkaitan Hasmah),” katanya

Malaysiakini sudah menghubungi Marina dan penerbit filem berkaitan untuk mengulas isu berkenaan.

Sebelum ini, filem dokumentari M For Malaysia karya anak Marina sendiri - yang juga cucu Mahathir - Ineza Roussille dilihat mendapat sokongan padu keluarga.

M For Malaysia juga mencipta sejarah apabila mewakili Malaysia ke penilaian Oscar ke-92 bagi kategori anugerah Filem Cetera Antarabangsa.

 

 

Sumber: Malaysiakini

Average: 4 (1 vote)