23 August 2019, Friday | 06:48pm

‘Biar saya habiskan musim dulu’

2019-07-17

KUALA LUMPUR - Hafizh Syahrin Abdullah enggan mengulas mengenai masa depannya dalam perlumbaan MotoGP selepas kontrak bersama pasukan Red Bull KTM Tech 3 berakhir musim ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu sebaliknya menegaskan, dia mahu memberi tumpuan kepada baki saingan musim ini termasuk Grand Prix Malaysia yang akan berlangsung November ini.

"Buat masa sekarang saya tidak mahu komen apa-apa kerana saya masih memiliki kontrak bersama pasukan dan mereka masih memerlukan saya.

"Saya belum ambil keputusan pasukan mana yang akan saya sertai musim hadapan dan itu sahaja yang boleh saya komen," katanya selepas majlis pelancaran GP Malaysia di Publika di sini hari ini.

Red Bull KTM Tech 3 sebelum ini mengumumkan akan menggunakan khidmat juara Moto3 2016, Brad Binder pada musim depan untuk menggantikan Hafizh.

Pelumba Afrika Selatan itu yang kini beraksi dalam saingan Moto2 bersama Red Bull KTM Ajo akan bergandingan dengan Miguel Oliveira dari Portugal.

Biarpun Hafizh ada menerima beberapa tawaran, namun kebanyakan tawaran itu datang dari pasukan Moto2.

GP Malaysia akan berlangsung bermula 1 hingga 3 November ini.

 

 

 

 

 

Sumber: Utusan             https://bit.ly/2GfEBi9

Gambar: siakapkeli.my

No votes yet