18 November 2018, Sunday | 02:51pm

Tujuh tak boleh ditayangkan di Brunei

2018-11-08

KUALA LUMPUR: Filem terbitan Primeworks Studios, Tujuh, yang bakal menemui penonton negara ini mulai 8 November depan tidak mendapat kelulusan untuk ditayangkan di Brunei.

Pengarahnya, Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin, berkata pihak penapisan filem negara itu memberikan alasan karyanya mengandungi unsur tidak bermoral.

“Sebagai filem yang memaparkan budaya ‘Woodstock’ dan ‘Hippies’, sudah tentu ia turut mempunyai babak membabitkan minuman keras dan penyalahgunaan dadah. Atas alasan terbabit, filem ini tidak mendapat kelulusan untuk ditayangkan di sana.

“Apa pun, saya akur dan menghormati keputusan yang dibuat pihak berkenaan,” kata Raja Mukhriz kepada BH Online.

Ditanya apakah mereka akan membuat rayuan bagi membolehkan filem terbabit ditayangkan juga di negara itu, dia menyerahkan perkara berkenaan kepada penerbitnya untuk membuat keputusan.

Sementara itu, sebagai karya bergenre seram dan cemas, Tujuh memaparkan banyak babak ngeri. Justeru, ia tidak terlepas daripada menjadi mangsa guntingan Lembaga Penapis Filem (LPF).

“Kira-kira 13 babak dipotong, tetapi ia hanya membabitkan babak dari segi sudut rakaman kamera.

“Ia memberikan sedikit kesan dari segi kesinambungan, namun tidak langsung menjejaskan jalan cerita,” kata Raja Mukhriz yang hadir ke Balai Berita bagi mempromosikan filem kedua arahannya itu, hari ini.

Tujuh menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan As’ari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Siti Saleha, Cristina Suzanne dan Marsha Milan.

BHONLINE

Average: 5 (1 vote)