25 September 2017, Monday | 05:45pm

Trek Velodrom Nasional Di Nilai Bertaraf Dunia

2017-04-21

NILAI – Raja keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang menyifatkan Velodrom Nasional yang bernilai hampir RM80 juta di sini, adalah antara velodrom terbaik di dunia.

Beliau menjadi atlet berbasikal pertama berpeluang menguji trek di dalam velodrom tertutup itu yang masih dalam proses akhir pembinaan dan akan digunakan untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN, masing-masing pada Ogos dan September ini.

Mohd Azizulhasni meluangkan masa hampir 30 minit menguji trek tersebut yang turut disertai oleh atlet berbasikal daripada Program Kita Juara petang tadi.

“Trek sangat bagus dan lancar walaupun trek ini masih ada habuk kerana kita semua sedia maklum velodrom ini masih dalam pembinaan lagi. Bagi saya trek agak laju dan pelumba-pelumba yang lain juga turut mengatakan perkara sama.

“Secara keseluruhan, kita mempunyai trek terbaik di dunia, seperti trek di Hong Kong. Ujian di selekoh juga baik, kesemuanya memang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menguji trek di Velodrom Nasional hari ini.

Lebih bermakna buat juara dunia keirin itu apabila beliau diberi penghargaan menandatangani satu daripada kepingan trek di garisan penamat.

Velodrom yang dibina pada Januari 2015 dan dikendalikan Jabatan Kerja Raya itu mempunyai trek sepanjang 250 meter yang diperbuat daripada kayu jenis spruce dengan kapasiti 1,800 tempat duduk penonton serta dilengkapi kemudahan lain seperti ruang pejabat, surau serta 20 fasiliti untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU).

“Satu penghargaan buat diri saya, bukan saja individu pertama yang kayuh di trek ini tetapi dekat garisan penamat ada tandatangan saya.

“Ini adalah kenangan untuk diri saya. Mungkin kalau saya sudah bersara atau sudah tiada di dunia ini, ada satu kenangan untuk sukan berbasikal di Malaysia,” katanya.

Mohd Azizulhasni berkata velodrom bertaraf dunia itu memberikan suntikan semangat kepada pelumba muda untuk lebih berdaya saing bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara tetapi di peringkat dunia seperti beliau.

“Saya berharap sukan berbasikal trek akan lebih berkembang. Sebelum ini, tiada velodrom tertutup, sekarang sudah ada.

“Memang terbukti pelumba trek mempunyai prestasi cemerlang di peringkat dunia. Kalau Azizulhasni yang bertubuh kecil ini boleh menjadi juara dunia, saya percaya pelumba remaja yang ada sekarang ini juga mampu melakukannya,” katanya.

Beliau berharap velodrom itu dapat digunakan secara maksimum bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan atlet trek berbasikal pada masa depan.

Mengambil contoh tempat latihannya di Melbourne, Australia, velodrom itu sering dikunjungi pelajar-pelajar sekolah setiap minggu dalam usaha menarik minat remaja negara itu dalam sukan berbasikal.

“Mungkin kita boleh bermula dengan program pembangunan atau membawa pelajar sekolah datang ke sini memperkenalkan tentang trek ini kepada mereka…kalau mereka berminat, mereka boleh menyertai kelab tempatan atau membeli basikal terlebih dahulu untuk belajar berkayuh,” jelasnya. – BERNAMA

No votes yet