21 October 2018, Sunday | 09:41pm

Trafik penumpang MAHB meningkat

2018-10-11

KUALA LUMPUR: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan jumlah penumpang sebanyak 10.8 juta pada September 2018, pertumbuhan dua peratus tahun ke tahun.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata trafik antarabangsa meningkat 2.1 peratus tahun ke tahun kepada 5.1 juta penumpang, manakala trafik domestik naik 2.0 peratus tahun ke tahun kepada 5.7 juta.

Pada asas 12 bulan, rangkaian lapangan terbang MAHB mencatatkan pertumbuhan keseluruhan sebanyak 4.9 peratus dengan 132.3 juta penumpang iaitu trafik tertinggi yang diuruskan dalam tempoh 12 bulan.

Lapangan terbang di Malaysia merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.3 peratus pada bulan berkenaan dengan 7.7 juta penumpang.

Sektor antarabangsa menambah 0.9 peratus dengan merekodkan empat juta penumpang manakala sektor domestik meningkat 1.6 peratus, dengan sejumlah 3.8 juta penumpang.

Sementara itu, trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul mencatatkan pertumbuhan 4.1 peratus pada September 2018, dengan 3.1 juta penumpang.

Penumpang antarabangsa di lapangan terbang tersebut meningkat 6.8 peratus kepada 1.1 juta penumpang manakala penumpang domestik meningkat 2.7 peratus kepada dua juta penumpang.

Jumlah pergerakan pesawat naik empat peratus, dengan penerbangan antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan peningkatan 5.3 peratus dan 3.3 peratus.

-BERNAMA

Sumber:BeritaHarian/https://bit.ly/2A4hjcJ

 

Average: 5 (2 votes)

Tags: