20 March 2019, Wednesday | 12:14am

Tiga Ditahan Hina Bekas Yang Di-Pertuan Agong – Ketua Polis Negara

2019-01-10

Polis menahan tiga individu yang memuat naik di media sosial komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Petuan Agong XV, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata mereka yang ditahan untuk siasatan itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 dan 46 tahun.

“Penahanan kesemua individu itu dibuat selepas kami menerima beberapa laporan polis berhubung tindakan pemilik akaun laman sosial terbabit yang memuat naik komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V.

“Mereka yang ditahan ialah pemilik dua akaun twitter (@azhamaktar dan @aliaastaman) serta seorang pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai Eric Liew,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata ketiga-tiga individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut.

Beliau turut menasihati orang ramai agar menggunakan laman sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat provokatif berhubung peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong XV hingga mampu menimbulkan perspektif negatif terhadap institusi diraja.

Ahad lepas,  Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa serta merta.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Dis 2016.

 

Sumber : Bernama

No votes yet