11 December 2018, Tuesday | 02:52am

Tidak lindungi tapi galakkan persaingan

2018-11-16

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (dua, kanan) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airports Raja Azmi Raja Nazuddin (dua, kiri) menyambut ketibaan sekumpulan pelancong dari Bengaluru dan Delhi, India yang menaiki penerbangan sulung pesawat India’s Largest Airline (IndiGo) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini. - UTUSAN ONLINE/FotoBERNAMA

SEPANG 15 Nov. - Kerajaan tidak akan melindungi syarikat-syarikat penerbangan sebaliknya mahu melihat satu pasaran sektor penerbangan yang berdaya saing, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, persaingan yang wujud itu bukan sahaja membawa manfaat positif kepada sektor penerbangan malah melonjakkan pertumbuhan sektor-sektor lain termasuk pelancongan.

"Sebagai Menteri Pengangkutan, saya mahu melihat lebih banyak persaingan dalam sektor penerbangan. Kita tidak akan melindungi dan kita tidak percaya kepada perlindungan.

"Jadi, kita harap kemasukan lebih banyak syarikat penerbangan ke negara ini dapat menyuntik angin persaingan kepada industri kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Penerbangan Sulung IndiGo ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, beliau sangat yakin dengan kemampuan syarikat penerbangan tempatan untuk bersaing bersama syarikat penerbangan asing yang sekali gus dilihat dapat melonjakkan prestasi syarikat-syarikat berkenaan.

"Jangan fikir syarikat tempatan tidak boleh bersaing... saya yakin mereka boleh bersaing dalam konteks prestasi dan perkhidmatan yang baik. Ini yang perlu kita lakukan," katanya.

Anthony menambah, Malaysia menyasarkan untuk menarik sebanyak 1.9 juta pelancong India ke negara ini ke arah menjadikan negara hab pelancongan yang kukuh di rantau ini. - UTUSAN ONLINE

 

 

 

Average: 5 (1 vote)