21 June 2019, Friday | 12:21am

Tengku Abdullah bakal Sultan Pahang dan Agong?

2019-01-10

KUANTAN 9 Jan. – Adakah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bakal ditabal sebagai Sultan Pahang bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang dikhabarkan sedang gering?

Khabar angin juga menga­takan Tengku Abdullah bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sejurus ditabal sebagai sultan.

Sumber istana memak­lum­­­kan, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang dipengerusikan Teng­ku Abdullah akan me­ngadakan pertemuan Jumaat ini di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, sumber ter­sebut enggan mengulas berhubung agenda pertemuan yang akan diadakan selepas solat Jumaat itu.

Berdasarkan kepada Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, spe­kulasi yang bertiup kencang itu hanya menjadi kenyataan jika Sultan Ahmad Shah turun takhta atas keredaan hati ba­ginda serta perlu menandatangani Surat Perintah.

Surat Perintah berkenaan itu pula hendaklah disaksikan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang yang kedua-duanya hendaklah hadir bersama-sama pada masa Raja Pemerintah menurunkan tandatangan pada Surat Perintah itu.

Perkara Sembilan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menerangkan sekiranya Raja Pemerintah tidak bersemayam dalam negeri ketika turun takhta, perintah mengesahkan turun takhta itu hendaklah dibuat dengan Surat Perintah dan diletak cap Mohor Negeri yang ditandatangani Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Pahang.

© Utusan Melayu (M) Bhd

 

No votes yet