21 January 2019, Monday | 10:52pm

Tan Cheng Hoe kekal pimpin Harimau Malaya sehingga akhir 2020

2019-01-08

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik semula Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih skuad utama kebangsaan berkuat kuasa serta merta sehingga 2020

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selepas Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan bermesyuarat di Wisma FAM di sini pada Selasa.

“KPI yang kita tetapkan adalah melayakkan diri ke final Piala AFF Suzuki 2020 dan sudah pasti kelayakan Piala Asia AFC 2023," kata Ramalingam.

“Itu adalah keutamaan FAM sendiri, bukan sahaja kepada Cheng Hoe tetapi KPI kami bersama di FAM kerena prestasi di atas padang juga cerminan kepada prestasi kami di luar padang,” tambahnya.

Bagi Cheng Hoe, ia satu penghormatan dan berbesar hati kerana masih diberi kepercayaan untuk mengemudi skuad Harimau Malaya.

“Kita memerlukan komitmen yang tinggi, bukan dari saya, bukan dari pihak FAM mahupun dari pemain sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia untuk melihat pasukan layak ke peringkat tertinggi,” kata jurulatih berusia 50 tahun itu.

Sementara itu berhubung sasaran KPI setakat final Piala AFF Suzuki 2020, Yusoff menjelaskan bahawa ia sebagai tidak memberi tekanan yang besar kepada Cheng Hoe.

“Memang kita letak sampai final sahaja, tetapi melihat kepada pencapaian kita pada edisi lepas, bererti kita sebenarnya mensasarkan juara,” katanya.

Cheng Hoe, yang kontraknya tamat bulan lepas, mula bertindak sebagai jurulatih skuad utama negara selepas mengambil alih kerusi daripada Nelo Vingada pada Disember 2017.

Beliau seterusnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan Harimau Malaya selama 16 bulan dan memimpin pasukan kebangsaan ke pentas akhir Piala AFF Suzuki 2018 namun tewas dengan agregat 2-3 kepada Vietnam pada Disember lalu.

 

Sumber: AstroAwani

No votes yet