21 March 2019, Thursday | 07:14pm

Tadbir urus baik kunci kemajuan negara - Dr Mahathir

2019-01-18

DAKAR, Senegal: Tadbir urus yang baik dan kestabilan adalah faktor penting untuk mengubah ekonomi, sekali gus membangunkan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian dalam rakaman klip video yang disiarkan pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ketiga (ICEA-III) di sini, hari ini.

Dr Mahathir menggariskan dua faktor itu berdasarkan pengalaman beliau mentadbir dan membangunkan Malaysia dari sebuah negara membangun kepada negara berpendapatan pertengahan tinggi.

“Apa yang sangat penting dalam usaha untuk mengubah ekonomi ialah tadbir urus yang baik dan kestabilan.

“Apabila ada dua elemen itu, perkara lain akan menyusul,” katanya yang berterima kasih kepada penganjur kerana menjemputnya menyertai persidangan ini.

ICEA-III bertemakan Kemunculan, Sektor Swasta dan Ketrangkuman di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf (CICAD) di Diamniadio di sini selama tiga hari bermula hari ini.

Persidangan dirasmikan Presiden Senegal, Macky Sall, disertai lebih 1,000 peserta dan agensi antarabangsa serta beberapa ketua negara dan kerajaan di Afrika.

Pada sesi pertama persidangan selepas majlis perasmian, Dr Mahathir menjadi ahli panel dialog pertingkat tertinggi yang turut disertai, Sall dan Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keita, diikuti tiga lagi sesi perbincangan.

Perdana Menteri adalah satu-satunya pemimpin dari luar Afrika yang diberi penghormatan oleh kerajaan Senegal untuk berkongsi pengalaman dan idea memajukan negara pada persidangan ini.

Sementara itu, Sall dalam ucapan perasmian berterima kasih dan menghargai penyertaan Dr Mahathir pada persidangan ini.

“Kami sangat menghargai dan sedia mendengar pengalaman dan pandangan Bapa Pembangunan Moden Malaysia pada persidangan ini,” katanya.

BHOnline

 

No votes yet