25 June 2019, Tuesday | 05:23pm

Syafie, Aishah sedia kahwin muda

2019-04-12

 

TIDAK menunggu lama untuk membawa perhubungan yang bercambah dalam hati ke arah sebuah ikatan suci, pelakon Syafie Naswip dan Aishah Azman selamat bertunang dalam sebuah majlis yang diadakan hujung minggu lalu.

 

Bertempat di Forest Valley Hall, Bandar Mahkota Cheras, Cheras, Selangor, pasangan itu memilih meraikan hari bahagia mereka dengan konsep taman dan dihadiri seramai 200 tetamu termasuk keluarga serta rakan-rakan.

 

Bersyukur kerana segalanya yang dirancang berjalan lancar, Syafie yang ditemui usai majlis berkata, tarikh perkahwinan mereka belum diputuskan pihak keluarga, namun dijangka berlangsung pada tahun ini.

 

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar cuma tarikh perkahwinan masih dalam perbincangan bersama pihak keluarga. Insya-Allah jika tiada aral melintang, kami mahu laksanakan pada tahun ini juga.

 

“Cuma mungkin mengambil sedikit masa memandangkan banyak perkara perlu dilakukan terutama bagi mendapatkan lokasi majlis dan menyelesaikan pelbagai dokumen berkaitan,” ujarnya yang segak menyarung baju Melayu berona biru muda.

Pada majlis berkenaan, pihak lelaki membawa lima dulang hantaran dan berbalas sebanyak lima dulang oleh pihak perempuan yang kesemuanya berupa manisan.

Aishah atau nama lengkapnya Nor Aishah Afika Azman Shah yang menyarung busana berona biru muda rekaan Zamrimatouch turut menerima sebentuk cincin tanda pertunangan daripada ibu Syafie, Noorsiah Ahmad.

Dunia baharu

Meskipun masih muda, namun itu tidak menghalang untuk Aishah, 23, menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat kerana percaya perasaan bersedia itu hadir apabila diri sendiri yang mula membuka langkah.

“Kalau tanya diri sendiri sama ada sudah bersedia atau tidak, sampai bila-bila pun kita tidak tahu. Saya tidak mahu berada dalam situasi yang sama dan bersedia untuk menempuh alam baharu.

“Saya teruja untuk meneroka dunia baharu sebagai seorang isteri. Walaupun tahu dugaan bertunang memang besar, tetapi kami perlu kuat. Insya-Allah, semoga semuanya dipermudahkan. Saya cuba menjadi isteri terbaik buat Syafie,” ujar Aishah bersulam kuntuman manis di bibirnya.

Pada usia yang masih setahun jagung, Aishah mengakui perlu untuk mempelajari banyak perkara demi memenuhi peranan seorang isteri yang baik.

“Selalunya kalau anak perempuan mahu kahwin, kita mesti merujuk ibu sendiri untuk bertanya panduan bergelar isteri. Ibu pun selalu ingatkan supaya apabila sudah berkahwin, perlu rajin memasak,” katanya sambil ketawa.

Perkara sama turut diakui Syafie yang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab selaku ketua keluarga kerana percaya sudah tiba masa untuk melangkah ke alam baharu.

“Ini masa yang tepat untuk saya melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan. Kalau masih menunggu masa yang sesuai, rasanya lagi lambat jodoh akan datang. Apa-apa pun, semua datang daripada diri sendiri.

“Lagipun ini merupakan permintaan daripada ibu saya agar kami mempercepatkan majlis ini sebab perkara baik tidak elok ditangguh-tangguh. Lebih cepat lebih baik,” ujar Syafie yang popular menerusi filem Mukhsin.

Keperibadian

Syafie dan Aishah yang merupakan adik kepada pelakon Afiq Muiz mula menjalin percintaan sejak setahun lalu selepas lebih tiga tahun berkawan.

Mereka mula terbuka berkongsi tentang hubungan berdua kepada umum dan berkongsi gambar bersama dalam laman Instagram.

Namun dalam tempoh yang singkat, baik Syafie, 27, mahupun Aishah sudah cukup yakin untuk membulatkan hati menerima seadanya kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Ketika ditanya tentang ciri-ciri diri Aishah yang menawan hatinya, Syafie atau nama lengkapnya Mohammad Syafie Naswip mengakui perasaan tersebut hadir secara alami.

“Perasaan itu datang tiba-tiba dan tanpa sedar pun. Sebab saya selesa dengan sikap dia dari segi pergaulan bersama orang sekeliling mahupun keluarga. Begitu juga dengan caranya membawa diri dalam industri.

“Perkara itu membuatkan hati saya terbuka untuk memberanikan diri mengenalinya dengan lebih mendalam. Biarpun kami ada sifat garang tetapi selalunya Aishah yang banyak berlembut, sebab saya tegas orangnya.

“Aishah juga ibarat pelengkap sebab dia tahu menguruskan beberapa perkara yang saya tidak peka. Contohnya bab pengurusan masa, kadangkala ada juga saya bersikap sambil lewa,” ujarnya yang melamar Aishah pada penghujung tahun lalu.

Bagi Aishah pula, perasaan yang terbit dalam lubuk hatinya bukan berputik daripada cinta pandangan pertama. Sebaliknya, keperibadian Syafie yang baik terhadap orang sekeliling serta mempunyai tutur bicara yang lembut membuatkan hatinya terpikat.

“Dia seorang yang penyabar, malah sangat menghargai apa yang orang lakukan kepadanya walaupun sekecil-kecil perkara.

“Faktor itu yang membuatkan saya mahu mengenalinya dengan lebih rapat dan teruskan hubungan ini ke fasa seterusnya,” terang pelakon drama Cinta Hati Batu itu ceria.

Ditanya tentang perancangan hari perkahwinan mereka kelak, kedua-duanya mengimpikan sebuah majlis yang sederhana namun cukup bermakna untuk dikenang sepanjang hidup.

Sumber:Kosmo/https://tinyurl.com/y5a57rp2

No votes yet

Tags: