11 December 2018, Tuesday | 02:56am

STOLport Initiatif MAHB Memudahkan Penduduk

2018-03-07

Sebagai rakyat Malaysia, kita patut berbangga dengan usaha Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) yang berterusan untuk menyediakan perkhidmatan dan fasiliti bertaraf antarabangsa. Antara usaha-usaha MAHB ini termasuklah 18 STOLport yang terdapat di Sabah, Sarawak dan tiga buah pulau iaitu Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Redang.  

Mungkin ramai tertanya-tanya, apakah STOLport? ‘STOL’ bermaksud ‘Short Take-Off and Landing’, iaitu landasan yang jauh lebih pendek berbanding lapangan terbang komersial, khas untuk pesawat terbang bersayap tetap sahaja. Kebanyakan STOLport beroperasi di kawasan pedalaman kerana penduduk di kawasan ini tidak dapat menggunakan kemudahan jalan raya. Oleh itu, MAHB telah memudahkan perjalanan mereka melalui ruang udara.

“Lapangan STOLport diuruskan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyediakan akses bekalan makanan, ubat-ubatan dan tujuan pendidikan,” kata Datuk Badlisham Ghazali, pengarah urusan MAHB.

Dalam rekod tahunan MAHB, seramai 150,000 penumpang di sekitar 12 STOLport di dalam Sarawak sahaja. STOLport di Malaysia Timur seperti Lawas, Long Akah dan Marudi pula beroperasi secara berbeza. Cukai lapangan terbang tidak dikenakan kepada penumpang disebabkan STOLport ini digunakan untuk perjalanan ke tempat kerja ataupun ke sekolah. MASwings Malaysia Airlines ialah syarikat penerbangan yang beroperasi di kawasan ini.

STOLport tidak boleh disamakan dengan landasan penerbangan biasa disebabkan ia menjadi suatu kepentingan untuk penduduk di kawasan pedalaman di Malaysia. Ianya adalah salah satu perkhidmatan komunikasi dengan dunia luar, bahkan juga dapat mengeratkan hubungan bagi mereka yang tinggal berjauhan dari yang tersayang. Kawasan pedalaman akan tetap menjadi keutamaan bagi pihak kerajaan untuk memastikan penduduk luar bandar tidak terpinggir daripada arus kemajuan.

Sumber Gambar: KLIA/http://bit.ly/2G0Mbfp

Ditulis oleh: Sarah, S

 

Average: 5 (1 vote)