25 September 2017, Monday | 05:45pm

SPRM bantu atasi kelemahan perumahan Johor

2017-04-20

MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama barisan exco Johor melafas dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dihadapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad (empat dari kanan) di Pejabat Menteri Besar Johor, Iskandar Puteri. - Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Johor

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam peringkat akhir menyiapkan kertas cadangan penambahbaikan sistem serta prosedur berkaitan perumahan Bumiputera di Johor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata kertas cadangan itu dijangka siap dalam tempoh masa terdekat dan diserahkan kepada kerajaan negeri.

"SPRM mengenal pasti beberapa kelemahan yang wujud dalam sistem perumahan Bumiputera di negeri ini, sehingga menjurus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Oleh demikian, Bahagian Perundingan dan Pencegahan SPRM akan mengemukakan beberapa cadangan bagi menambahbaik prosedur (perumahan Johor) sedia ada.

"Secara lazimnya cadangan yang diberikan SPRM adalah mandatori maka kerajaan negeri perlu mengikutinya bagi memastikan isu rasuah serta salah guna kuasa tidak berlaku lagi," katanya.

Dzulkifli berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama sembilan EXCO Kerajaan Negeri Johor.

Majlis berlangsung di Pejabat Menteri Besar Johor di Iskandar Puteri di sini. Yang turut hadir, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Dzulkifli berkata, SPRM juga akan turut mengemukakan cadangan berkenaan kepada negeri lain bagi mengelakkan berlakunya isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Ini kerana sistem perumahan Bumiputera turut wujud di negeri lain maka dengan cadangan ini isu rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung, " katanya.
 

 

 

 

 

Sumber: Berita Harian - http://www.bharian.com.my/node/273712

Average: 5 (1 vote)