25 June 2019, Tuesday | 07:05pm

Skuad negara pamer peningkatan

2019-05-30

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah jelas sekali gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika berjaya mencipta kejutan mengikat pasukan No. 17 dunia, Itali 1-1 pada aksi kedua Kejohanan Jemputan Tiga Negara di Rom semalam.

 

Ia merupakan keputusan positif buat Malaysian Tigress yang menduduki ranking ke-22 dunia itu selepas dibelasah 1-5 oleh pasukan No. 7 dunia, Sepanyol pada aksi pertama kelmarin.

 

“Secara keseluruhan, pemain telah menunjukkan satu peningkatan ketara jika dibandingkan dengan aksi pembukaan yang menyaksikan kami kalah besar kepada Sepanyol.

“Pemain tidak mudah kehilangan bola selain turut berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Dalam perlawanan ini, kami memperoleh tujuh peluang melalui gerakan padang dan enam menerusi pukulan sudut penalti.

“Sayang sekali, satu pukulan sudut penalti Itali bertukar kepada penalti stroke yang membolehkan mereka menjaringkan gol penyamaan. Daripada sudut positif, kami perlu mengelak daripada memberi kelebihan kepada pihak lawan untuk menguasai perlawanan ini,” kata Dhaarma.

Penyerang berusia 18 tahun, Nur Amirah Syakirah Zulkifli sekali lagi memperlihatkan ketajamannya apabila menjaringkan gol pertama negara dan juga yang kedua berturut-turut dalam dua perlawanan.

Hasrat skuad negara untuk meraih kemenangan pertama dalam fasa persediaan di Eropah itu tidak kesampaian selepas Giuliana Ruggieri meledak gol penyamaan buat Itali pada minit ke-52.

Kejohanan itu merupakan salah satu langkah persiapan Malaysian Tigress sebelum menghadapi ujian sebenar di Final Siri Hoki Dunia 2019 di Banbridge, Ireland Utara dari 8 hingga 16 Jun ini dalam misi mencari tiket ke pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020.

Selepas tamat kejohanan membabitkan Itali dan Sepanyol itu, skuad negara akan bertolak ke Glasgow untuk mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan bawah 23 tahun Scotland pada 1 Jun ini sebelum berlepas ke Belfast dan bersiap menghadapi Final Siri Hoki Dunia 2019.

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2Qx2ENt

No votes yet