24 March 2019, Sunday | 09:38am

Skuad Kim Swee bermula langkah kiri Piala AFF B-22

2019-02-19

Malaysia terpaksa mengharungi laluan berliku sekiranya mahu mencapai sasaran mara ke separuh akhir saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 22 tahun (B-22) apabila kalah tipis 0-1 kepada tuan rumah, Kemboja,semalam.

Walaupun saling melakukan serangan bertali arus dan mempunyai peluang, kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol pada separuh masa pertama pada aksi itu yang berlangsung di Stadium Olimpik, Phnom Penh.

Peluang terbaik skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee hadir pada minit ke-31, namun Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak gagal menyempurnakan hantaran M. Kogileswaran Raj di hadapan pintu gol.

Selang empat minit kemudian, Kemboja pula mempunyai peluang membuka jaringan, namun tandukan Narong Kakada tersasar di sebelah kiri gawang gol Malaysia.

Kemboja, bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan menjaringkan gol apabila sepakan percuma Sath Rosib pada minit ke-62 gagal diselamatkan penjaga gawang negara, Haziq Nadzli.

Kemboja memperoleh sepakan percuma tersebut apabila Danial Haqim Draman mengasari Orn Chanpolin, menyebabkan pemain tengah negara berusia 20 tahun itu dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Malaysia cuba bangkit menerusi rembatan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-67, namun percubaan itu berjaya ditepis penjaga gol Kemboja, Hul Kimhuy, malah serangan susulan Hadi Fayyadh juga diselamatkan penjaga gawang tuan rumah berusia 18 tahun itu.

Kedudukan 1-0 memihak kepada Kemboja kekal sehingga ke wisel penamat.

Skuad muda negara seterusnya akan bertemu Indonesia pada perlawanan kedua Kumpulan B, Rabu ini, diikuti berdepan Myanmar dua hari kemudian, manakala Kemboja akan beraksi menentang Myanmar selepas ini.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Terdahulu pada satu lagi aksi pertama Kumpulan B, Myanmar dan Indonesia berkongsi satu mata apabila terikat 1-1.

Sementara itu, Kim Swee yang kurang berpuas hati dengan keputusan tersebut, berkata beliau akan melakukan rombakan di bahagian tengah dengan harapan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata menentang musuh tradisi, Indonesia pada Rabu ini, selepas kehilangan khidmat Danial Haqim (kad merah) dan Kogileswaran (cedera).

“Kita tidak beraksi dengan baik. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Kemboja, mereka beraksi dengan baik dan menyukarkan kita. Pada perlawanan kedua kita harus bangkit bertenaga dan saya percaya pemain boleh melaksanakan tugas mereka dengan baik.

“Kad merah mematikan corak permainan kita…kita mula beraksi dengan baik terutama selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat masuk dengan menguasai di bahagian tengah. Malangnya apabila anda bermain menentang 11 pemain dengan kurang seorang pemain, ia sangat sukar bagi sebarang pasukan,” katanya sambil memuji jaringan jarak jauh Sath itu.

“Kita perlu bermain sebagai satu pasukan menentang Indonesia dan meraih satu atau tiga mata untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir. Indonesia juga bermain begitu baik menentang Myanmar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Rakaman audio sidang media itu diperoleh Bernama menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).- BERNAMA

No votes yet