20 March 2019, Wednesday | 12:15am

Selepas ‘Munafik,’ ‘Desolasi’ pula tembus pasaran Indonesia (VIDEO)

2016-10-24

Yusof, 62, berkata disebabkan penerimaan baik 'Munafik' di Indonesia, filem arahan anaknya, Syafiq juga akan ditayangkan di negara itu pada awal tahun depan. — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Tayangan filem “Munafik” di Indonesia membuka jalan kepada filem Skop Production lain mengikut jejak langkah sama, kata Datuk Yusof Haslam.

Penerbit filem itu berkata walaupun “Munafik” ditayangkan agak lewat di negara jiran tetapi maklum balas yang diterima sangat menggalakkan.

“Selepas dua minggu, penonton lebih 20,000 orang. Filem ini sudah dimainkan awal enam bulan di internet dan penonton di Indonesia pun sudah tengok.

“Tetapi pempamer di sana ambil filem ini berdasarkan komen pengguna internet. Mereka kata ini percubaan pertama tetapi sambutannya masih baik.

“Untuk filem Indonesia yang lemah sekali pun, tiga atau empat hari sudah habis ditayangkan. Munafik masih bertahan. Mereka kata ada kekuatan yang baik,” katanya kepada ProjekMMO.

Yusof, 62, berkata disebabkan penerimaan baik “Munafik” di Indonesia, filem arahan anaknya, Syafiq juga akan ditayangkan di negara itu pada awal tahun depan.

Katanya, melihat trailer “Desolasi” membuatkan pempamer di Indonesia teruja untuk menayangkan filem kelima arahan Syafiq.

“Atas dasar itu mereka kata Desolasi akan ditayangkan awal tahun depan selepas tiga minggu ditayangkan di sini.

“Mereka lihat trailer dan mereka kata ia sangat mengagumkan. Mereka pun nak cuba tayangkan.

“Kita pun ada rancangan untuk kerjasama dengan mereka dalam 'Munafik 2,'” katanya.

Desolasi akan ditayangkan 8 Disember ini merupakan filem kelima arahan Syafiq selepas kejayaan “Mat Moto,” “Abang Long Fadil” dan “Villa Nabila.”

Filem ini menampilkan abangnya Syamsul sebagai pelakon utama selain Bella Dally, Pekin Ibrahim dan Datuk Jalalludin Hassan. 

 

Sumber: TheMalayMail/http://bit.ly/2dAOefj

No votes yet