25 May 2018, Friday | 11:05am

Salah akhirnya berjaya bukti kebolehan sebenar di England

2018-04-23

Mohamed Salah mendakwa dia sentiasa mahu kembali ke England untuk menonjolkan kebolehannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas memenangi anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Salah gagal menyinar ketika menyertai Chelsea dari Basel pada 2014 dan telah dipinjamkan ke Fiorentina dan Roma, sebelum menyempurnakan perpindahan ke Stadio Olimpico pada 2016.

Cemerlang dalam aksi Serie A berjaya memikat Liverpool untuk membawa semula Salah ke England pada Jun lalu.

Dia telah membayar kepercayaan yang telah diberikan dengan penuh bergaya, meledak 41 gol dalam semua kejohanan dan membantu The Reds mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Ketika menerima anugerah Pemain Terbaik PFA semalam, pemain berusia 25 tahun itu berkata dia memiliki keazaman untuk membuktikan sesuatu apabila mengambil keputusan untuk berhijrah ke Anfield.

"Ya, saya rasa sejak hari pertama saya tinggalkan EPL, perkara itu sering kali bermain di fikiran saya," katanya.

"Saya tidak berpeluang bersama Chelsea, jadi saya berhasrat untuk kembali dan membuktikan kebolehan sebenar saya.

"Saya sangat gembira di atas anugerah ini," ujarnya.

Liverpool akan menerima kunjunangan bekas kelab Salah, Roma, dalam aksi separuh akhir pertama UCL dan Salah tidak sabar untuk bertemu semula dengan rakan sepasukan lamanya.

"Ia perlawanan sangat istimewa buat saya. Saya teruja untuk berdepan Roma."

Sumber: StadiumArena/ https://bit.ly/2vB8lU3

No votes yet

Tags: