25 June 2019, Tuesday | 05:28pm

Rumah panjang terbakar, 407 mangsa hilang tempat tinggal

2019-04-16

BELAGA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu mengesahkan seramai 407 mangsa hilang tempat tinggal selepas rumah panjang mereka di Uma Bawang, Sungai Koyan, di Skim Penempatan Semula Sungai Asap musnah dalam kebakaran petang semalam.

 

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, kesemua mangsa itu adalah penghuni di dua daripada lima blok rumah panjang di Uma Bawang.

 

"Seramai 198 orang adalah dari blok D manakala 209 lagi mangsa dari blok E. Kebakaran disyaki bermula dari salah sebuah bilik di blok D," katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Katanya, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri semasa kejadian namun seorang wanita berusia 70 tahun melecur di bahagian belakang apabila masuk semula ke rumah panjang untuk mengambil barang.

 

Mangsa telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan.

 

Menurut beliau, kebanyakan mangsa kini menumpang sementara di rumah saudara-mara yang tinggal di tiga lagi blok rumah panjang tersebut.

 

Katanya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

 

Pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 6.03 petang, dan 11 anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.

 

Beliau berkata, perjalanan ke tempat kejadian memakan masa kira-kira dua jam melalui Jalan Bintulu-Bakun.

 

Sebelum ketibaan pihaknya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7 petang oleh Pasukan Bomba Sukarela Uma Daro, Sungai Asap dengan kekuatan 45 anggota.

 

Operasi tersebut tamat pada 2.21 pagi tadi. - Bernama

 

Sumber:Kosmo/http://tinyurl.com/y3kdtkm6

 

No votes yet

Tags: