20 May 2019, Monday | 07:58pm

Ronaldo gagal bantu Juve gapai impian

2019-04-19

TURIN - Pembelian Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dengan yuran perpindahan tinggi bernilai €100 juta (RM467 juta) awal musim ini masih gagal membantu Juventus menjulang gelaran Liga Juara-Juara selepas kali terakhir memenanginya pada 1995-1996.

 

Lebih malang, gergasi Serie A itu kali ini ditunjukkan jalan keluar di laman sendiri oleh pasukan underdog dari Belanda, Ajax selepas tewas 1-2 pada suku akhir kedua di Stadium Juventus awal pagi semalam sekali gus tewas dengan kekalahan agregat 2-3.

 

Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri mengakui skuad bimbingannya tidak boleh mengharapkan Ronaldo semata-mata walaupun kapten Portugal itu sudah memenangi lima gelaran Liga Juara-Juara dengan satu bersama Manchester United dan empat ketika mewakili Real Madrid.

“Ronaldo sudah memberikan aksi terbaik kepada kami sepanjang kempen ini tetapi apabila saya memerlukan semua pemain apabila beraksi di peringkat suku akhir.

“Setiap pemain anda perlu berada pada tahap kecergasan terbaik dan di kemuncak prestasi jika anda mahu menang Liga Juara-Juara. Saya boleh katakan kami tidak mempunyai kriteria ini pada musim ini,” katanya.

Allegri, 51, juga mengakui kecederaan dan masalah kecergasan dialami beberapa tonggaknya menyebabkan beliau terpaksa menurunkan pemain-pemain muda yang menyebabkan mereka tewas dalam perlawanan itu.

“Empat atau lima pemain utama tidak bermain seperti Giorgio Chiellini dan Mario Mandzukic. Daniele Rugani serta Leonardo Bonucci pula bermain dengan baik dalam tempoh 50 minit pertama sebelum mereka dilihat hilang arah.

“Matthijs De Ligt sepatutnya dikawal dengan ketat tetapi pemain saya membenarkan dia bebas menanduk gol kemenangan Ajax,” jelas Allegri yang menyatakan hasratnya untuk terus kekal sebagai pengendali Juventus musim depan. 
– Agensi

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2KOPsEM

 

No votes yet

Tags: