20 May 2019, Monday | 08:03pm

Rafiq ketepikan Azizulhasni

2019-04-25

PEMAIN boling negara, Muhammad Rafiq Ismail dinobatkan selaku Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur malam tadi.

 

Atlet berusia 22 tahun itu mengetepikan cabaran sengit daripada jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang untuk me­rangkul anugerah tertinggi sukan ber­kenaan buat kali pertama dalam karier­nya sebagai atlet profesional.

 

Selaku juara, Rafiq bakal menerima trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, selain turut diberikan dua tiket penerbangan ke Brisbane, Australia tajaan Malaysia Airlines Berhad.

Menurut atlet yang memulakan karier sejak 2011 itu, anugerah yang diraih tersebut merupakan penghargaan ter­tinggi buatnya sebagai atlet sekali gus dapat merangsang motivasinya untuk terus bekerja keras mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

Justeru, Rafiq mengakui akan berkongsi kejayaannya bersama golongan yang tidak bernasib baik dengan cara memberi sumbangan melalui sebahagian daripada hadiah kemenangan yang diterima.

“Alhamdulillah kerana saya dinobatkan sebagai olahragawan negara. Saya tidak sangka boleh menang kerana pesaing saya terdiri daripada atlet terkenal dunia seperti Azizulhasni.

“Sudah tentu saya akan menjadikan anugerah ini sebagai perangsang dan motivasi untuk bekerja keras terutamanya pada temasya Sukan SEA 2019 tidak lama lagi.

“Saya sudah pasang niat untuk membantu golongan tidak bernasib baik se­perti anak yatim dengan menyalurkan sebahagian wang kemenangan yang diterima ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Yang di-Pertuan Agong­, Al-Sultan Abdullah Ri’aya­tuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat hadir ke majlis itu.

Sebagai rekod, ia adalah anugerah kedua yang diterima oleh Rafiq tahun ini selepas turut dinobatkan sebagai atlet terbaik di majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2018 pada 10 April lalu.

Rafiq dipilih menerima anugerah tersebut selepas muncul sebagai juara dunia pada Kejohanan Dunia Boling 2018 di Hong Kong November tahun lalu selepas kali terakhir dimenangi menerusi acara trio yang diwakili Allan Hooi, Edward Lim dan J.B. Koo pada tahun 1979.

Selain itu, Rafiq turut membantu Malaysia meraih satu emas dan perak pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia dan terus mengharumkan nama negara pada kejohanan 2018 PBA-WBT Thailand dengan merangkul gangsa dalam acara Masters.

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2Gwc9bj

Average: 4 (1 vote)

Tags: