18 February 2019, Monday | 01:25pm

PTK di laluan saluran paip gas dilancar

2019-01-18

MIRI: Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) Petronas melancarkan program Pelan Tindakan Kecemasan (PTK) iaitu pelan keselamatan di laluan saluran paip gas pertama di dunia.

Ia diwujudkan dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan program simulasinya berlangsung di Kampung Sahabat Baru, Lawas, baru-baru ini.

Ketua Unit Sokongan Operasi Petronas SSGP, Suffian Sabeli, berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat berkaitan sebarang insiden, terutama kebakaran di laluan saluran paip itu.

Katanya, penduduk diberikan panduan dan maklumat penting sekiranya berdepan dengan sebarang situasi kecemasan.

“Ia membabitkan insiden kebakaran dan letupan, pelepasan gas di saluran paip yang tidak terkawal, termasuk ancaman bom, simulasi insiden helikopter terhempas ketika melakukan operasi pengawasan serta tanah runtuh di laluan paip gas,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, semalam.

Katanya, program itu juga satu mekanisme pengurusan bencana di bawah koordinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak secara menyeluruh.

“Ia meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana yang membabitkan jumlah mangsa dan kemusnahan harta benda yang besar,” katanya

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata program itu memberikan impak yang amat positif kepada masyarakat.

Katanya, program berkenaan ternyata dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan risiko, terutama mereka yang berada di saluran laluan paip gas.

“Sekurang-kurangnya masyarakat tahu tindakan awal perlu dilakukan sekiranya berdepan sebarang insiden sebelum kehadiran pihak berkuasa,” katanya.

 

BHOnline

Average: 5 (1 vote)