11 December 2018, Tuesday | 02:59am

PM Singapura saman blogger kongsi artikel 1MDB di Facebook

2018-12-06

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengemukakan saman fitnah ke atas seorang penasihat kewangan dan blogger kerana berkongsi satu artikel mengaitkan beliau dengan 1MDB.

Setiausaha akhbar Lee, Chang Li Lin, mengesahkan pemimpin itu telah mengemukakan prosiding undang-undang terhadap Leong Sze Hian kerana melakukan fitnah.

"Lee berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak lain yang turut memfitnah beliau," kata Chang.

Defendan, Leong berkata dalam laman Facebooknya bahawa dia hanya berkongsi artikel itu daripada laman media online Malaysia mengenai Lee dan 1MDB tanpa memberi komen atau mengubah isi kandungannya.

Leong mengakui bingung menerima surat daripada peguam yang menyatakan tindakannya meletak artikel di laman Facebooknya adalah berniat jahat dan menjejaskan reputasi Perdana Menteri Singapura.

"Saya menolak sama sekali semua dakwaan ini," katanya.

Tindakan undang-undang itu dibuat beberapa minggu selepas kerajaan Singapura menuntut Facebook mengeluarkan satu lagi 'posting' seorang blogger berpejabat di Australia mengenai bank Singapura dan 1MDB yang disifatkan palsu dan berniat jahat.

Facebook menolak tuntutan itu menyebabkan kerajaan Singapura menuduh gergasi media sosial itu tidak boleh diharapkan untuk menapis maklumat palsu.

Leong sering memberi ulasan dan mengkritik dasar kerajaan Singapura.

Dia tidak membalas permohonan Reuters untuk mengulas perkara itu.

Tetapi, di laman web Facebooknya, dia berkata, dia telah mengikuti permohonan kerajaan membuang artikel itu sambil menekankan bahawa adalah tidak tepat sama sekali bahawa dia telah membuat artikel itu yang berunsur fitnah ke atas Perdana Menteri.

1MDB menjadi sasaran siasatan pengubahan wang haram di enam negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Malaysia.

Jabatan Kehakiman Amerika menyatakan, kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.72 bilion) telah diselewengkan daripada dana itu oleh pegawai kanannya antara 2009 dan 2014. - Reuters

 

Average: 4 (1 vote)