24 March 2019, Sunday | 09:43am

Petronas sinari anak-anak Paloh

2019-03-14

RAIHA AZNI ABDUL RAHMAN (depan kanan) diiringi oleh kakitangan Petronas Sarawak dan guru-guru SK Orang Kaya Muda Pakeri meninjau keadaan asrama lama ketika melawat sekolah berkenaan di Paloh, Sarawak pada 23 Februari lalu. –UTUSAN/AMIR KHALID

KEDAIFAN bangunan asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri, Paloh, Sarawak mendapat perhatian Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) baru-baru ini apabila syarikat minyak negara itu memberi tajaan untuk membina asrama baharu buat masyarakat Orang Asli di situ.

Inisiatif Petronas itu dilihat amat tepat pada masanya berikutan keadaan asrama yang menempatkan 54 pelajar Orang Asli sudah tidak lagi sesuai untuk dijadikan tempat tinggal berikutan struktur binaannya sudah reput dan menanti roboh.

Menariknya, tajaan daripada Petronas itu bukan sahaja akan memberi keselesaan kepada penghuni asrama SK Orang Kaya Muda Pakeri, bahkan turut membuka lebih banyak peluang kepada ibu-bapa dari Kampung Paloh, Kampung Berangan dan Kampung Kedang untuk menghantar anak-anak mereka belajar di situ.

Hal ini kerana bangunan asrama baharu yang akan siap sepenuhnya pada Ogos ini mampu memuatkan penghuni asrama dua kali ganda daripada jumlah yang mampu ditampung asrama lama iaitu 121 orang murid.

Terletak jauh di dalam kawasan pedalaman, SK Orang Kaya Muda Pakeri adalah satu-satunya sekolah asrama penuh yang tersedia untuk lebih 1,000 penduduk di sekitar kawasan Paloh sejak 34 tahun lalu.

Memandangkan laluan utama ke sekolah tersebut adalah melalui Sungai Batang Paloh yang amat mencabar dan berisiko tinggi, ramai penduduk kampung di sekitar Paloh mengharapkan anak-anak mereka terpilih untuk menduduki asrama berkenaan.

TERHARU

Menurut Guru Besar SK Orang Kaya Muda Pakeri, Ibrahim Abang Mahamud, sekolah tersebut telah ditubuhkan pada 1958 dan dinaik taraf pada 1985 dengan pembinaan bangunan kedua sekolah yang melibatkan asrama pelajar.

Ibrahim yang juga alumni sekolah tersebut berkata, kerajaan kemudian mengambil inisiatif untuk membina bangunan baharu bagi menggantikan blok bangunan kedua sekolah pada 2012.

“Pembinaan blok sekolah itu bagaimanapun tidak melibatkan asrama pelajar yang telah pun usang memandangkan struktur binaannya berasaskan kayu serta papan.

“Sebab itu saya amat terharu apabila Petronas memilih untuk menaja SK Orang Kaya Muda Pakeri menerusi projek Asrama Harian Luar Bandar,” katanya kepada pemberita semasa lawatan Petronas ke tapak pembinaan asrama sekolah tersebut.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, pihak sekolah terpaksa membuat tapisan terhadap permintaan ibu bapa yang mahu menempatkan anak-anak mereka di asrama sebelum ini memandangkan keadaannya yang tidak begitu selamat dan kurang selesa.

Katanya, majoriti penduduk kampung di situ bekerja sebagai nelayan serta petani dan oleh sebab itu mereka mempunyai harapan besar untuk menempatkan anak-anak mereka di sekolah berkenaan bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin.

“Harapan saya adalah pihak sekolah dapat mencapai hasil terbaik selepas asrama ini siap sepenuhnya dan kami yakin dapat melahirkan pelajar cemerlang serta mampu menjadi insan berjaya suatu hari nanti,” katanya.

PETRONAS KOMITED

AKSES pendidikan adalah satu daripada inisiatif strategik syarikat minyak dan gas negara, Petronas untuk memberi peluang kepada rakyat khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman seperti Sarawak mendapat pendidikan dalam persekitaran pembelajaran kondusif.

Antara inisiatif tersebut adalah projek Asrama Harian Luar Bandar di Paloh yang bermula pada Julai lepas dan dijangka siap selewat-lewatnya pada Ogos ini.

Mengulas mengenai projek tersebut, Naib Presiden Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman berkata, ia adalah sebahagian daripada pelaburan sosial korporat (CSI) Petronas dalam pembangunan modal insan.

Katanya, Petronas memperuntukkan RM420 juta untuk pendidikan serta pembangunan modal insan di Sarawak bagi tempoh 2014 hingga 2019 dengan kerjasama dua hala antara kerajaan negeri dengan syarikat gergasi minyak dan gas negara itu.

“Petronas memilih SK Orang Kaya Muda Pakeri berdasarkan beberapa kriteria seperti keadaan asrama yang benar-benar uzur dan keazaman pihak sekolah yang mahu murid-murid mendapat keselesaan dalam pembelajaran mereka.

“Dengan pembinaan asrama baharu yang terbahagi kepada blok lelaki dan perempuan, kita berharap ia mampu memberi motivasi kepada setiap murid untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun sukan,” katanya.

Raiha Azni menambah, antara projek lain yang dilaksanakan Petronas adalah penajaan 244 pelajar di tiga sekolah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sarawak, pembinaan MRSM baharu di Bintulu dan tajaan Latihan Institusi Vokasional (Vista) di institusi vokasional terpilih.

“Terdapat dua projek infrastruktur besar dilaburkan oleh Petronas untuk pembangunan modal insan iaitu tajaan pembinaan asrama SK Orang Kaya Muda Pakeri dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara di Bintulu.

“Pembinaan MRSM di Bintulu adalah projek infrastruktur besar yang tidak pernah kita buat sebelum ini dan dijangka siap pada 2021. Kita amat komited terhadap dua projek demi Sarawak,” katanya.

SUARA HATI ANAK PALOH

APABILA memandang tepat wajah anak-anak Paloh ketika melawat tapak pembinaan asrama SK Orang Kaya Muda Pakeri, jelas wajah kegembiraan yang tidak terhingga memandangkan selama ini mereka terpaksa menginap di bangunan asrama yang serba kekurangan.

Lebih menyentuh hati apabila mereka tidak langsung mengeluh mahupun berasa rendah diri dengan segala kekurangan tersebut sebaliknya sentiasa bersemangat menceritakan hal pembelajaran kepada rombongan yang datang melawat mereka.

Antara detik yang membuatkan kumpulan rombongan terharu apabila seorang daripada murid SK Orang Kaya Muda Pakeri, Olivia Eda Tuan yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Menurut Olivia Eda, walaupun tidak sempat untuk merasai suasana di asrama baharu nanti tetapi dia mengharapkan murid-murid lain serta anak-anak Kampung Paloh boleh belajar dengan selesa di situ nanti.

“Sebelum ini saya bersama penghuni asrama lain terpaksa tinggal dalam blok yang sempit dan amat sejuk ketika hujan. Walaupun tidak sempat merasai suasana asrama baharu tetapi saya gembira apabila adik-adik junior yang lain tidak perlu merasai kesusahan yang kami alami sebelum ini.

“Sekiranya mendapat keputusan baik dalam UPSR, saya mahu menyambung pengajian di sekolah terbaik dan berharap dapat mencapai cita-cita untuk menjadi seorang doktor kerana mahu membantu penduduk tempatan di sini yang hidup dalam keadaan daif,” katanya.

UtusanOnline

 

Average: 5 (1 vote)