20 May 2019, Monday | 05:47am

Perak perkuat barisan serangan, ikat dua pemain import baru dari Brazil

2019-05-10

IPOH – Skuad bola sepak Perak memperkuatkan lagi barisan serangan mereka dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2019 apabila mengikat dua penyerang import baru dari Brazil.

Pemain tersebut, Ronaldo Henrique Silva, 28, yang pernah beraksi bersama kelab Esporte di Brazil dan kelab dari Liga Jepun, Yokohama FC manakala seorang lagi, Raianderson Da Costa Morais, 23, pula bersama kelab dari negaranya, Atletico Acreano.

Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berkata, pihaknya berharap kedua-dua pemain import tersebut dapat menunjukkan prestasi yang terbaik sekali gus mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan Perak.

“Sebagai pemain penyerang dan tengah, aksi mereka ditagih untuk menjaringkan lebih banyak gol buat pasukan.

“Mereka telah menyertai dua sesi latihan bersama Perak sebelum ini dan saya berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan,” katanya pada sidang akhbar memperkenalkan pemain berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Tambah Durakovic, pihaknya berharap kedua-dua pemain itu dapat beraksi pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Perak Sabtu ini.

Sementara itu, Durakovic turut mengumumkan pengguguran dua pemain import, Gilmar Jose Da Silva Filho manakala Wander Luiz Bitencourt Junior pula menarik diri daripada pasukan Perak atas alasan masalah kesihatan yang dialami anaknya di Brazil.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menafikan laporan bahawa pemain pertahanan import, Zac Anderson digugurkan ekoran kemasukan dua pemain import baru tersebut.

Perak kini menghuni tangga kelapan Liga Super selepas mengutip 14 mata daripada 12 perlawanan. - K! ONLINE

 

No votes yet