26 September 2018, Wednesday | 09:52pm

Pengarah Urusan Kumpulan BDB meninggal dunia

2018-03-13

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff, 50, meninggal dunia di Hospital Pantai dekat sini, jam 8.04 pagi ini.

Beliau dikejarkan untuk rawatan kecemasan di hospital terbabit, selepas dikatakan rebah ketika sedang berjoging di sebuah taman rekreasi di ibu negara.

Pemergian Allahyarham disahkan Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed, menerusi satu kenyataan hari ini.

"Allahyarham meninggalkan balu, Datin Joani Sofina Othman, 49, dan sepasang anak lelaki dan perempuan," katanya.

Selepas bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Baru untuk dikafan dan disolatkan, sebelum dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, untuk solat jenazah akhir.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara, petang ini.

Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas BDB pada Ogos 2013 dan kemudiannya menyandang jawatan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas pada Februari 2014.

Izham turut menjadi ahli Lembaga Panel Pelaburan Tabung Haji pada 1 Oktober 2017.

Sebelum berkhidmat bersama Kumpulan BDB, beliau adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Percetakan Nasional Malaysia Berhad dari Februari 2010 hingga Januari 2014.

Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan lain termasuklah sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Ninebio Sdn Bhd (2007-2010) dan Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif KUB Malaysia Berhad (2004 - 2007).

 

Sumber: Berita Harian/http://bit.ly/2p73DHY

 

 

No votes yet