18 February 2019, Monday | 01:15pm

Penganjur Dewi Remaja akan ambil tindakan, Haneesya masih kunci mulut

2019-01-17

KUALA LUMPUR - Berikutan video tular memaparkan wajah seorang gadis mirip juara Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee serta dua lagi gadis mirip peserta program berkenaan iaitu Fazreen Fazera dan Erni Shahira kelihatan sedang berparti sambil memegang gelas air yang dipercayai minuman keras, pihak penganjur tampil membuat kenyataan.

Melalui Instagram rasmi Majalah Remaja, pemilik jenama Dewi Remaja, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. mengeluarkan kenyataan awal berkenaan kontroversi terbabit.

“Selaku pemilik jenama Dewi Ramaja Nu Ideaktiv memandang serius terhadap video yang didakwa melibatkan peserta-peserta Dewi Remaja 2018/2019.

“Perkara ini dalam siasatan kami dan tindakan yang sewajarnya akan diambil,” tulis kenyataan tersebut.

Sementara itu, Haneesya ketika dihubungi Kosmo! Online masih mengambil pendekatan mengunci mulut berkenaan kontroversi yang membabitkan gadis berusia 18 tahun itu.

“Maaf, mungkin bukan sekarang. Buat masa ini, saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan, katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Sejak semalam, penularan video tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen. Rata-rata mereka mempersoalkan kredibiliti peserta Dewi Remaja yang diangkat sebagai ikon.

Buat masa sekarang, tidak dapat dipastikan sama ada video yang tersebar itu adalah Haneesya atau hanya pelanduk dua serupa. - K! ONLINE

No votes yet