25 June 2019, Tuesday | 07:06pm

Orang Asli Kuala Koh: Jabatan Kesihatan Pahang ambil langkah pencegahan

2019-06-11

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Pahang mengambil langkah kawalan dan pencegahan di beberapa daerah yang bersebelahan dengan Gua Musang ekoran kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan Orang Asli yang berlaku di Kuala Koh.

 

Pengarahnya, Datuk Dr. Sha'ari Ngadiman berkata, setakat ini, semua klinik kesihatan dan hospital di Jerantut, Lipis dan Cemeron Highlands diletakkan dalam keadaan siap siaga dan semakan notifikasi dibuat bagi semua kes berkaitan jangkitan saluran pernafasan.

 

"Pengesanan kes di kawasan penempatan Orang Asli daripada suku Batek telah dimulakan di Jerantut dan Lipis. Setakat hari pertama aktiviti pengesanan kes, belum ada kluster jangkitan saluran pernafasan ditemui.

"Secara keseluruhan, situasi penyakit berjangkit adalah terkawal dan pegawai kesihatan daerah Jerantut dan Lipis sentiasa memantau trend kejadian kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Sha'ari berkata, nasihat secara individu dan pendidikan kesihatan secara berkumpulan juga diberikan kepada penduduk Orang Asli sebagai langkah mengelakkan penularan jangkitan melalui udara dan sentuhan.

Beliau juga memaklumkan jabatan itu akan terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain yang terlibat dalam memantau perkembangan kes terlibat. - Bernama

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2MBqt8E

 

Average: 5 (1 vote)