25 June 2019, Tuesday | 06:53pm

Orang Asli Kuala Koh: Ini jangkitan penyakit biasa - Mohd. Amar

2019-06-10

KOTA BHARU - Kerajaan negeri menyifatkan krisis kesihatan yang dihadapi masyarakat Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang kini sebagai jangkitan penyakit biasa.

 

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bilangan 14 orang penduduk yang dikatakan maut akibat radang paru-paru juga boleh dipersoalkan kerana yang rasmi setakat ini hanya dua orang sahaja.

 

Dalam masa sama, Mohd. Amar berkata, penyakit radang paru-paru yang dialami penduduk adalah sejenis penyakit bawaan udara sekali gus menolak dakwaan ia akibat sumber air yang tercemar.

 

"Rekod 14 (maut) itu pun macam mana, kalau ikut polis pun tak ada rekod, kalau baca kenyataan dikatakan mayat dikebumi secara senyap-senyap sahaja, tak ada maklumat, yang rasmi dua (kematian) sahaja.

"Sekarang ini pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan dan polis pun sudah turun, kita serahkan kepada mereka (menyiasat), kita nak arah-arah pun mereka lebih tahu bidang tugas dia.

"Kalau kita ambil pandangan pihak hospital, isu ini isu jangkitan biasa, tambah-tambah dengan kedudukan Orang Asli yang tinggal di pedalaman, kurang makanan dan sebagainya, ia menambah masalah (kesihatan) yang ada," katanya selepas mesyuarat 'pre-council' Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di JKR 10 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kematian 14 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang sejak 2 Mei lalu.

Sehingga kini, baru dua daripada 14 yang maut dibedah siasat dan disahkan disebabkan radang paru-paru.

Dalam masa sama, sebanyak 83 daripada 186 penduduk Orang Asli suku kaum tersebut disahkan dijangkiti penyakit tersebut termasuk dua yang sedang kritikal di hospital.

Sementara itu, Mohd. Amar berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pertimbangan JAKOA untuk memindahkan penduduk ke lokasi yang lebih selamat.

Menurutnya, pihak kerajaan negeri juga setakat ini belum menerima sebarang permintaan dari JAKOA untuk peruntukan makanan dan lain-lain bantuan kepada suku kaum Batek tersebut namun bersedia jika diperlukan.

"Sekarang ini tindakan pindah dalam pertimbangan JAKOA tetapi kita difahamkan ada sebahagian mereka telah bergerak keluar sendiri dari tempat tersebut.

"Kita kena ingat sifat Orang Asli ini dia tidak suka duduk setempat, terutama suku kaum Batek ini berbeza dengan suku Temiar dan lain-lain, mereka lebih suka bersendirian, itu antara isu kita kena ambil kira," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang menunggu laporan penuh dan terperinci daripada semua agensi terlibat yang dijangka bermesyuarat petang ini dengan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Nazran Muhammad. - K! ONLINE

Sumber:Kosmo/http://bit.ly/2wNO4rS

 

Average: 4 (1 vote)