21 June 2019, Friday | 12:35am

Netizen puji tindakan MAHB pindahkan sarang lebah, bukan hapus

2019-01-11

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersama pasukan kawalan serangga meneruskan operasi menghalau lebah di Lapagan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Namun, kali ini pihak MAHB mengambil tindakan menggunakan kaedah menyelamatkan lebah-lebah tersebut daripada menghapuskannya.

Ratusan lebah yang bersarang itu akan dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai.

Langkah ini diambil susulan seruan rakyat Malaysia yang meminta MAHB untuk tidak menggunakan kaedah pengasapan, iaitu kaedah yang digunakan dalam operasi penghapusan sarang lebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum ini.

MAHB menerusi laman Twitter rasminya berkata, pasukan Penyelamat Lebah Malaysia akan memindahkan lebah yang bersarang di laluan terminal utama KLIA.

“Operasi 'Bee Saga' berterusan, kali ini di terminal utama KLIA. Pihak kami bersama pihak Penyelamat Lebah Malaysia akan menyelamatkan lebah dan akan memastikan lebah-lebah itu dipindahkan dengan cara yang betul. Terus berikan sokongan anda,” kata MAHB dalam tweetnya, hari ini.

Susulan itu, rata-rata netizen memuji pihak MAHB kerana mempertimbangkan dan seterusnya melaksanakan cadangan mereka.