24 March 2019, Sunday | 09:52am

Musim kemarau jejas pendapatan penoreh getah

2019-03-11

GUA MUSANG: Lebih 100 penoreh getah di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan terjejas pendapatan apabila terpaksa berhenti menoreh getah akibat cuaca panas berpanjangan.

Mereka terpaksa berehat daripada melakukan kerja menoreh kerana pokok getah mengalami proses daun luruh sehingga menjejaskan pengeluaran susu getah.

Hasil tinjauan mendapati penghasilan susu getah menurun lebih 50 peratus dan pendapatan penoreh dijangka terjejas teruk dalam tempoh lima bulan ini.

Ketika ini susu getah yang ditoreh cepat kering apabila getah ditoreh berhenti mengeluarkan susu dalam tempoh 30 minit berbanding tiga jam sebelum ini.

Namun pada musim kemarau ini, pokok-pokok berkenaan luruh sehingga tiga bulan.

Bagi Kam Sui Sang pula, dia terpaksa mencari pekerjaan lain sehingga keadaan kembali pulih.

"Daun pokok getah akan luruh ketika musim panas ini. Sudah lama tidak hujan, jadi apa yang saya lakukan adalah hanya jaga rumput disekeliling pokok tersebut dan meletakkan baja," jelasnya.

Nada yang sama diluahkan Ng Yeen Tiang yang terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung perbelanjaan anak ke sekolah.

"Jadi masalah jika tiada pendapatan. Saya terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung perbelanjaan anak saya ke sekolah. Saya perlu membayar yuran, membeli buku dan sebagainya," ujarnya.

Pekebun dan penoreh berharap bantuan diberikan kepada mereka yang bergantung dengan hasil getah, walaupun kerajaan telah memberikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Harga getah ketika ini masih rendah apabila tidak mencapai RM3 sekilogram menyebabkan mereka hanya memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,000.

Sumber:Awani/https://bit.ly/2CdVdFf

Average: 5 (1 vote)

Tags: