18 November 2018, Sunday | 02:51pm

Mourinho pertahan sikapnya

2018-11-08

REAKSI Pengurus Manchester United, Jose Mourinho terhadap penyokong Juventus selepas skuad bimbingannya melakar kemenangan 2-1 ke atas kelab Itali itu. - Foto Reuters

TURIN: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mempertahankan sikapnya terhadap penyokong Juventus selepas skuad bimbingannya melakar kemenangan 2-1 ke atas kelab Itali itu sekali gus mencerahkan peluang untuk melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Bekas pemain United, Cristiano Ronaldo meletakkan Juventus di depan pada babak kedua tetapi di sebalik mempamer aksi hambar sepanjang perlawanan, United bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Juan Mata pada minit ke-86 dan gol sendiri Leonardo Bonucci pada masa kecederaan.

“Jika anda memahami bahasa Itali, anda akan menyedari mereka mengejek saya sepanjang 90 minit perlawanan.

“Saya tidak menyinggung perasaan sesiapa pun. Saya hanya melakukan perkara untuk memberitahu mereka saya ingin mendengar suara mereka dengan lebih kuat,” kata Mourinho selepas meletakkan tangannya di telinga yang mengarah kepada penyokong Juventus.

“Saya tidak sepatutnya melakukan perkara itu tapi keluarga saya diejek termasuk keluarga di Inter Milan.

“Sebab itu saya membalas reaksi sebegitu,” katanya.

Reaksi Mourinho itu hadir ketika Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) menyatakan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan yang menyaksikan Mourinho terlepas hukuman selepas didapati menggunakan kata-kata kesat dalam bahasa Portugis di depan kaca televisyen ketika pasukannya menang 3-2 ke atas Newcastle bulan lalu.

Suruhanjaya pengawal selia bebas sudah membebaskan Mourinho daripada sebarang pertuduhan pada 31 Oktober lalu selepas menerima pandangan daripada pakar bahasa. - Reuters

No votes yet